Kawasan Perdagangan Bebas(FTA) China-ASEAN siap dibina secara rasmi pada 1 Januari yang lalu. Pakar-pakar berkenaan menyatakan bahawa kawasan perdagangan itu merupakan kawasan perdagangan bebas terbesar yang disertai oleh negara-negara membangun dan akan menguntungkan China dan negara-negara ASEAN. Selain itu, kawasan perdagangan bebas itu menjadi model FTA yang baru bagi negara-negara membangun yang lain.
Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN diwujudkan dengan usaha pihak-pihak berkenaan selama 8 tahun. Kawasan itu melibatkan 11 buah negara, 1.9 bilion orang penduduk dan KDNK dengan jumlah 6,000 bilion dolar Amerika. Ia juga merupakan kawasan perdagangan bebas yang ketiga terbesar di dunia selepas Kesatuan Eropah dan Kawasan Perdagangan Bebas Amerika Utara.
Pakar dari Akademi Sains Sosial China, Encik Zhang Yunling berkata, "Kawasan perdagangan bebas itu dibina selangkah demi selangkah. Negara-negara yang terbabit mematuhi dengan ketat peratuaran Pertubuhan Perdagangan Dunia dan tidak mewujudkan rintangan perdagangan kepada negara-negara yang lain. Negara-negara yang lebih maju membantu negara-negara yang agak miskin dalam kawasan perdagangan itu agar semua negara anggota ASEAN mendapat manfaat.
China dan ASEAN melaksanakan kerjasama ekonomi secara menyeluruh. Selain mengadakan ekspo, kedua-dua pihak juga meningkatkan kerjasama dalam pembinaan pelabuhan dan logistik, pembinaan kemudahan infrastruktur, pelancongan, perdagangan dan pelaburan serta pertanian. Selain itu, kedua-dua pihak juga meningkatkan kerjasama di kawasan Sungai Mekong Besar dan Pan Teluk Beibu untuk meningkatkan tahap keterbukaan pasaran, pengaliran barangan logistik, daya saing syarikat dan memajukan ekonomi di kawasan-kawasan tersebut.
Hubungan ekonomi dan perdagangan antara China dengan ASEAN kian meningkat setelah kedua-dua pihak memeterai "Perjanjian Rangka Kerjasama Ekonomi Menyeluruh". Jumlah perdagangan antara kedua-dua pihak telah meningkat daripada kira-kira 60 bilion dolar Amerika pada tahun 2002 kepada lebih 230 bilion dolar Amerika pada tahun 2008. Setelah kawasan perdagangan bebas ini diwujudkan, kadar tarif purata China kepada negara-negara ASEAN akan menurun kepada 0.1% daripada 9.8% pada masa dahulu.
Ketua Pengarah Institut Pengajian Asia Tenggara Universiti Jinan, Cao Yunhua berkata bahawa kawasan perdagangan ini akan menguntungkan China dan negara-negara ASEAN. Katanya, "ASEAN merupakan jiran yang penting kepada China. Dari segi politik, pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka serta pembangunan modenisasi China memerlukan iklim yang baik. Dari segi ekonomi pula, China dan ASEAN merupakan rakan dagang keempat terbesar antara satu sama lain. Hubungan ekonomi antara kedua-dua pihak akan lebih erat seiring dengan pembinaan kawasan perdagangan bebas tersebut."
Turunnya tahap tarif dalam kawasan perdagangan bebas ini akan meningkatkan jumlah perdagangan dan menyempurnakan struktur perdagangan dua hala.
Encik Zhang Yunling menyatakan bahawa Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN mempunyai potensi pembangunan yang besar. Katanya, "Kawasan perdagangan itu dibina bersama oleh dua entiti ekonomi yang besar. Jumlah penduduk yang ramai menyediakan pasaran yang besar. Ekonomi China akan terus berkembang pesat pada masa yang akan datang. Jadi, negara-negara ASEAN akan mendapat faedah daripada perkembangan tersebut.