Forum Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN dirasmikan di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, bahagian selatan China hari ini. Lebih 400 orang peserta telah memberikan cadangan kbagi pembangunan kawasan perdagangan bebas tersebut pada masa depan. Naib Menteri Perdagangan China, Yi Xiaozhun dalam forum tersebut berkata bahawa penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN merupakan hasil yang saling menguntungkan. Pembukaannya secara rasmi akan menjadi titik tolak baru bagi kedua-dua pihak untuk terus mengembangkan hubungan ekonomi dan perdagangan, serta mendorong integrasi ekonomi serantau. Beliau berkata:
"Dengan situasti ekonomi yang kian baik, azam syarikat-syarikat China untuk melabur ke luar menjadi semakin kuat. Pelaburan China di ASEAN dijangka akan meningkat dengan pesat dalam masa beberapa tahun yang akan datang. Kedua-dua pihak perlu menggunakan tabung kerjasama pelaburan China-ASEAN dan pelbagai sumber yang lain, mempercepat pembinaan infrastruktur, meningkatkan hubungan melalui pembinaan jaringan jalan raya, landasan kereta api, penerbangan dan sistem berkongsi maklumat supaya memenuhi keperluan pembangunan hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua pihak. Di samping memperkukuh situasi yang sedia ada, kedua-dua pihak juga perlu terus meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala dalam bidang yang lebih banyak dan pada tahap yang lebih tinggi."
Sejak Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN ini dibuka, tarif bagi lebih 90% produk import-eksport antara China dengan Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Singapura akan turun ke tahap kosong. Menjelang tahun 2015, perdagangan bebas antara China dengan Vietnam, Laos, Kamboja dan Myanmar juga akan mengalami pengurunan tarif hingga ke tahap yang sama dengan negara-negara ASEAN yang lain itu.
Naib Setiausaha Agung ASEAN, Sundram Pushpanathan menyatakan bahawa, penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN bukan sahaja memberikan peluang pembangunan kerjasama serantau kepada kedua-dua pihak, malah membantu mengecilkan jurang perbezaan pembangunan antara pelbagai negara, dan menggalakkan kerjasama perdagangan dan pelaburan rentas sempadan. Kini, fahaman perlindungan perdagangan dan pelaburan tersebar semakin luas di dunia. Jadi, China dan negara-negara ASEAN perlu terus menggalakkan perdagangan dan pelaburan bebas supaya pelbagai kemudahan kawasan perdagangan bebas ini dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan. Beliau berkata:
"Kita perlu terus berusaha untuk menghapuskan sekatan perdagangan, dan melaksanakan mekanisme pengurusan import-eksport yang lebih sempurna. Di samping itu, kerajaan juga perlu menggalakkan kewujudan perdagangan bebas dengan bersungguh-sungguh dan meningkatkan sikap saling mempercayai. Dengan demikian, kedua-dua pihak pasti dapat mendapat manfaat yang lebih besar dari kawasan perdagangan bebas ini."
Naib Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China, Huang Mengfu menyatakan bahawa China dan negara-negara ASEAN merupakan jiran baik. Kini, bukan sahaja hubungan ekonomi antara kedua-dua pihak telah menjadi semakin erat, kerjasama dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan pelancongan pun semakin meluas. Penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN merupakan langkah pragmatik bagi kedua-dua pihak untuk memperkukuh hubungan rakan strategik yang bertujuan ke arah kedamaian dan kemakmuran.