Forum Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN 2010 (FOCAFTA) dirasmikan di Nanning, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi pagi tadi.
(Naib Menteri Perdagangan China, Yi Xiaozhun)
Naib Menteri Perdagangan China, Yi Xiaozhun yang berucap merasmikan forum itu berkata, Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) ditubuhkan mengikut tujuan menguntungkan kedua-dua pihak atau situasi menang-menang. Menurut beliau, berdasarkan tahap pembangunan ekonomi dan situasi pasaran pelbagai pihak yang berlainan, perkongsian keuntungan integrasi ekonomi diwujudkan melalui usaha meluaskan pasaran dan menghapuskan sekatan perdagangan dan pelaburan.
Beliau menegaskan, untuk menjadikan CAFTA benar-benar menguntungkan perusahaan dan rakyat kedua-dua pihak, kerajaan China dan negara anggota ASEAN perlu melaksanakan perjanjian perdagangan bebas, terus mempromosikan peranan positif CAFTA serta memberi sokongan dalam sektor pembinaan infrastruktur.
(Naib Ketua Setiausaha Sekretariat ASEAN, Sundram Pushpanathan)
Dalam ucapannya, Naib Ketua Setiausaha Sekretariat ASEAN, Sundram Pushpanathan berkata, walaupun kewujudan CAFTA menghadapi masalah serantau dan antarabangsa, namun ASEAN dan China dengan sikap yang aktif dan bertanggungjawab, mempergiatkan hubungan ekonomi perdagangan yang saling melengkapi untuk menjayakan interaksi kerjasama perdagangan serantau.
Beliau menyatakan CAFTA bukan sahaja menyediakan lebih banyak peluang bagi kerjasama perniagaan dan pelaburan serantau dan antarabangsa, malah bermanfaat bagi merapatkan jurang perbezaan dalam pembangunan dan pemulihan ekonomi daripada kesan negatif akibat krisis kewangan global.
Upacara pembukaan laman web Kawasan Perdagangan China-ASEAN dan Penubuhan Kawasan Pelabuhan Terikat Qinzhou dan Pusat Logistik Terikat Nanning telah diadakan selepas perasmian forum. Di samping itu, beberapa projek kerjasama China-ASEAN telah ditandatangani yang melibatkan bidang pembinaan kemudahan telekomunikasi dan janakuasa elektrik, sumber tenaga serta kewangan.
Forum yang bertema "saling menguntungkan dan mencipta masa depan yang cemerlang" itu bertujuan untuk meuar-uarkan kewujudan CAFTA. Lebih 400 pemimpin China dan negara anggota ASEAN, pegawai peringkat menteri dan petugas agensi kewangan yang terkemuka di arena antarabangsa menyertai forum tersebut.