Forum Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN 2010 (CAFTA) diadakan di Nanning, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi pada 7 hingga 8 Januari ini. Forum yang bertema "saling menguntungkan dan mencipta masa depan yang cemerlang" ini bertujuan untuk merayakan kelahiran CAFTA.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Dato' Mukhriz Tun Mahathir telah menghadiri upacara perasmian forum tersebut.
Ketika diwawancara oleh wartawan CRI beliau menyatakan bahawa kewujudan CAFTA telah membuka ruang yang lebih luas bagi syarikat-syarikat Malaysia dan China untuk menjalankan perdagangan dan pelaburan dua hala dalam pelbagai sektor. Menurut beliau, perdagangan antara Malaysia dengan China akan menjadi lebih dinamik kerana kos perdagangan kedua-dua pihak akan menurun banyak, dengan kewujudan CAFTA ini. Beliau berkata:
"Kita telah menghapuskan tarif ke atas lebih 90% barangan antara kedua-dua negara. Ini bermakna, begitu banyak produk yang boleh didagangkan antara kedua-dua negara tanpa dikenakan sebarang tarif. Kalaupun ada barangan yang sama antara kedua-dua pihak ini pada peringkat awalnya mungkin kita menghadapi sedikit masalah untuk menyesuaikan diri. Tetapi lama kelamaan saya yakin kita akan dapati syarikat-syarikat di kedua-dua pihak, yang mengimport komponen contohnya pada harga yang begitu rendah, Malaysia mengimport komponen dari negeri China untuk dimuatkan dalam produknya, kemudian dieksport semula kepada negeri China. Jadi ini akan membantu kerana dengan CAFTA ini tentu kadar kosnya akan menurun dan ini akan membawa manfaat kepada kedua-dua pihak."
Mengenai bidang pelaburan, Dato' Mukhriz berpendapat bahawa tahap pengetahuan dan pemahaman syarikat China mengenai Malaysia secara amnya dan peluang-peluang pelaburan di Malaysia secara khususnya masih pada tahap yang agak rendah. Oleh sebab itu, pemahaman antara kedua-dua negara perlu ditingkatkan lagi supaya menarik lebih banyak pelabur untuk memiliki Malaysia sebagai destinasi pelaburan. Beliau berkata: "Sebenarnya, walaupun kadar pelaburan syarikat-syarikat China di Malaysia sudah meningkat, tetapi kita masih belum berpuas hati dengan kadarnya kerana berbanding dengan negara-negara lain, pelaburan dari negeri China dianggap masih kecil. Jadi dengan termeterainya perjanjian melalui CAFTA ini, kita akan sekali lagi meningkatkan usaha untuk meluaskan pendedahan supaya lebih banyak syarikat China yang memahami dan mengetahui tentang peluang-peluang yang sedia wujud di Malaysia."
Industri pelancongan merupakan salah satu sektor yang berkembang maju di Malaysia. Dato' Mukhriz memberitahu wartawan bahawa kerajaan Malaysia telah mulai meliberasasikan 27 subsektor dalam sektor perkhidmatan, termasuk sektor pelancongan. Sementara itu, Malaysia merancang untuk menarik sekurang-kurangnya 1.2 juta pelancong dari China untuk melawat Malaysia pada tahun 2010. Beliau berkata: "Kita menggalakkan supaya lebih banyak syarikat-syarikat pelaburan dari negara China untuk datang meneroka peluang-peluang yang sedia ada di Malaysia untuk meraih keuntungan dalam industri pelancongan. Mungkin secara langsung ini dapat memenuhi permintaan daripada pelancong-pelancong China dan selain itu pelancong-pelancong dari negara lain seperti yang kita tahu lebih 25 juta pelancong daripada seluruh dunia mengunjungi Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang dipilih. Jadi, saya kira 1 juta daripada 25 juta itu masih satu angka yang kecil kalau kita lihat dari segi bilangan penduduk di China begitu besar, oleh kerana itu peluang itu masih terbentang luas untuk lebih ramai pelancong daripada negeri China untuk datang melawat Malaysia."