
Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA) telah beroperasi secara menyeluruh pada 1 Januari lalu. Ia merupakan kawasan perdagangan bebas pertama yang dianggotai oleh China dan juga ASEAN. Ketua Pengarah Jabatan Asia Selatan dan Asia Tenggara Institut Pengajian Hubungan Antarabangsa Moden China, Zhai Kun berkata, penubuhan CAFTA menandakan perkembangan hubungan rakan strategik China-ASEAN telah memasuki satu tahap yang baru. Dalam satu temubual dengan wartawan CRI baru-baru ini, beliau berkata, CAFTA berperanan dalam mendorong proses integrasi ekonomi serantau.
Menurut Zhai Kun, hubungan ekonomi dan perdagangan antara China dengan ASEAN mengalami perkembangan yang pesat sejak Perjanjian Rangka Kerjasama Ekonomi secara Menyeluruh ditandatangani oleh China dan ASEAN pada bulan November 2002. Jumlah perdagangan antara kedua-dua pihak meningkat kepada 231 bilion dolar Amerika pada tahun 2008 daripada 60 bilion dolar Amerika pada tahun 2002. Kini, China menjadi rakan perdagangan yang ketiga terbesar bagi ASEAN. Menurut beliau, hubungan ekonomi China-ASEAN yang saling bergantugn dan semakin erat turut memperkukuh hubungan politik dan keselamatan. Kata beliau: "Dalam tempoh 10 tahun ini, China dan negara-negara ASEAN mencapai persepakatan yang semakin meluas tentang isu politik dan keselamatan, terutama berjanji tidak mengambil tindakan kekerasan untuk menyelesaikan sesuatu pertikaian. Ini boleh dilihat daripada penyelesaian isu sempadan darat antara China dengan Vietnam serta Perisytiharan Pelan Tindakan Pelbagai Pihak Laut China Selatan yang ditandatangani oleh China dan negara-negara ASEAN yang terlibat. Asas bagi hubungan China-ASEAN akan diperkukuhkan jika semakin bergantung dalam bidang ekonomi antara satu sama lain. Oleh itu, penubuhan kawasan perdagangan bebas akan berperanan meningkatkan hubungan politik dan keselamatan antara China dengan negara ASEAN.
Menurut Zhai Kun, asas dari segi undang-undang bagi penubuhan CAFTA telah disempurnakan secara beransur-ansur dalam tempoh 10 tahun lalu, terutama melalui pemeteraian beberapa perjanjian yang penting seperti Perjanjian Rangka Kerjasama Ekonomi seccara Menyeluruh, Perjanjian Perdagangan Kargo, Perjanjian Penyelesaian Perselisihan, Perjanjian Perdagangan Perkhidmatan dan Perjanjian Pelaburan. Zhai Kun berkata: "Beberapa isu mungkin menjadi rumit berikutan interaksi ekonomi yang semakin erat antara China dengan ASEAN. Oleh itu, perjanjian berkenaan amat diperlukan bagi memastikan perkembangan hubungan ekonomi berdasarkan hala tuju yang diharapkan. Rancangan bagi penubuhan CAFTA dibuat berasaskan sistemnya, termasuk sistem yang bertujuan merancakkan perdagangan dan pelaburan antara satu sama lain, dan juga perjanjian-perjanjian yang membantu menyelesaikan perselisihan dalam proses penubuhan CAFTA.
China dan ASEAN menjalinkan hubungan rakan strategik ke arah "kedamaian dan kemakmuran" pada tahun 2003. Ini merupakan pertama kalinya bagi China menjalinkan hubungan seumpama itu dengan pertubuhan serantau. Zhai Kun berkata: "Hubungan rakan strategik China-ASEAN boleh diumpamakan sebuah bangunan yang disangga oleh beberapa tongkat utama. Ini termasuk Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN yang dianggap tonggak dari segi ekonomi; Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asia Tenggara yang sebagai tonggak politik serta Perisytiharan Pelan Tindakan Pelbagai Pihak Laut China Selatan, iaitu tanggak dalam bidang keselamatan. Selain itu, kedua-dua pihak juga mencapai kata sepakat tentang beberapa isu yang lain, seperti peningkatan interaksi dalam kebudayaan sosial dan kerjasama ekonomi serantau. Bagaimanapun, hubungan ekonomi merupakan tonggak utama bagi perkembangan hubungan China-ASEAN. Oleh itu, penubuhan CAFTA memperlihatkan hubungan rakan strategik China-ASEAN terus bertambah erat."
Menurut Zhai Kun, peningkatan hubungan rakan strategik China-ASEAN akan mendorong kerjasama antara negara-negara di rantau Asia Timur. Beliau beranggapan sedemikian kerana ASEAN merupakan pertubuhan yang pertama ke arah integrasi di rantau ini, dan juga mengesyorkan usaha integrasi Asia Timur. Selepas berlakun krisis kewangan Asia pada tahun 1997, rangka kerjasama "10+3" iaitu kerjasama antara ASEAN dengan China, Jepun dan Republik Korea telah dibentuk dengan usaha negara anggota ASEAN. Rangka kerjasama ini dianggap mekanisme peringkat awal bagi kerjasama ekonomi di rantau Asia Timur pada masa depan. Penubuhan CAFTA boleh dikatakan satu komponen dalam mekanisme tersebut. Seiring dengan kedudukan ASEAN yang semakin meningkat dalam arena ekonomi dunia, penubuhan CAFTA pasti akan memberi pengaruh yang besar terhadap struktur ekonomi serantau, malah dunia. Zhai Kun berkata: "Kerjasama antara China dengan ASEAN akan dipercepat selepas CAFTA beroperasi CAFTA. Hal ini akan menerajui kerjasama antara ASEAN dengan China, Jepun dan Republik Korea, iaitu kerjasama Asia Timur pada keseluruhannya. Kesemua ini akan menarik minat negara-negara di rantau yang berhampiran untuk menyertai kerjasama rantau Asia Timur. Oleh yang demikian, Sidang Kemuncak Asia Timur mula diperluas pada tahun 2005 dengan kehadiran India, Australia dan New Zealand. Selain itu, penubuhan CAFTA juga mempengaruhi APEC, sehingga pertubuhan itu juga menyasarkan matlamat untuk merealisasikan perdagangan bebas antara negara anggotanya. Oleh itu, penubuhan CAFTA bukan sahaja boleh memberi keuntungan kepada China dan negara anggota ASEAN, tetapi juga memainkan peranannya dalam mendorong kerjasama serantau, malah kerjasama antara negara APEC. "
Ketika menghuraikan "Anjuran Chiengmai" yang dicapai oleh ASEAN dengan China, Jepun dan Republik Korea, Zhai Kun berkata, perjanjian multilateral itu bertujuan untuk membentuk sebuah tabung rizab mata wang serantau. Beliau berkata: "Hal ini menunjukkan peningkatan usaha negara kuasa besar di rantau ASEAN, terutama dari segi ekonomi dan strategi. Ini juga disebabkan oleh kesan daripada penubuhan CAFTA. Oleh yang demikian, kedudukan ASEAN akan meningkat, sekali gus memperoleh jaminan yang lebih kukuh dari segi keselamatan dan pertumbuhan ekonominya. Peningkatan hubungan antara ASEAN dengan pelbagai negara kuasa besar berfaedah bagi kestabilan dan pembangunan Asia Tenggara."








