Cari:
China Amat Berjaya dalam Pembangunan Semula PascaBencana Gempa Bumi di Sichuan
2010-02-01 18:05:12 CRI Cetak

Bencana gempa bumi dahsyat yang melanda provinsi Sichuan China sudah berlalu kira-kira setahun setengah. Dengan usaha penduduk tempatan serta bantuan provinsi dan bandar yang lain, pembangunan semula sedang berjalan dengan lancar dan teratur di provinsi tersebut. Mangsa-mangsa bencana telah pindah ke rumah yang tetap secara beransur-ansur. Kebanyakan kemudahan pendidikan, perubatan dan kebudayaan telah beroperasi semula dan kebanyakan syarikat juga sudah mula beroperasi.

Setelah bencana itu berlaku, kerajaan pusat memutuskan untuk mewujudkan suatu mekanisme pembangunan khas, iaitu sesuatu provinsi atau bandar di China bertanggungjawab terhadap pembangunan semula sesuatu kawasan yang terkena bencana itu. Jadi, pelbagai provinsi dan bandar yang lebih maju masing-masing membantu pembangunan semula sebuah kaunti, pekan atau kampung. Mekanisme itu amat berkesan bagi pembangunan semula kawasan itu sejak lebih setahun yang lalu.

Bandar Dongguan di provinsi Guangdong merupakan bandar raya yang maju di bahagian timur China. Bandar itu bertanggungjawab membantu pembangunan semula Yingxiu, pekan yang paling teruk dilanda gempa bumi tersebut. Pada masa ini, kira-kira 60% projek pembangunan semula di pekan itu telah siap.

Pegawai dari Dongguan yang bertanggungjawab atas projek pembangunan semula Yingxiu, Wang Yiyu berkata, selain daripada projek pembinaan semula bangunan, pihaknya juga bertanggungjawab terhadap pembangunan semula kebudayaan, industri dan menyediakan bantuan teknologi. Setakat ini, pihaknya telah memperuntukkan kira-kira sebilion yuan RMB untuk pembangunan semula di kawasan Yingxiu. Kata beliau,

"Kami mengumpulkan penduduk untuk tinggal secara berkelompok di kawasan yang tertentu dahulu, kemudian barulah kami menjalankan projek pembinaan semula. Langkah tersebut bertujuan untuk tidak menjejaskan sangat kehidupan penduduk di pekan tersebut."

Selain menjalankan projek pembinaan semula bangunan, Dongguan juga menyediakan bantuan dana kepada pekan Yingxiu dan berusaha menyediakan peluang kerja kepada penduduk di kawasan tersebut.

Bandar Jinan, provinsi Shandong bertanggungjawab membantu pembangunan semula pekan Leigu, kaunti Beichuan. Pekan yang terdiri daripada 30 buah kampung itu juga mengalami kerosakan yang teruk dan kerugian yang besar dalam bencana tersebut. Lebih 20 ribu buah rumah runtuh, kesemua infrastruktur termasuk bangunan sekolah, badan kerajaan, pusat kebudayaan dan hospital serta sistem lebuh raya, telekomunikasi, bekalan air minum dan elektrik telah musnah, dan jumlah kerugian mencecah 10 bilion yuan RMB.

Setakat ini, 13 projek yang dibina oleh bandar Jinan di pekan tersebut telah siap dan sudah mula beroperasi. Pegawai kerajaan pekan itu, Han Zhongming berkata, "Bandar Jinan telah membina semula lebuh raya, sekolah, hospital dan pusat kebudayaan untuk pekan kami dalam tempoh setahun yang lalu."

Guru Besar Sekolah Rendah Pekan Leigu, Xiong Tingjun berkata, sekolahnya telah musnah dalam bencana gempa bumi itu. Bandar Jinan memperuntukkan 9.53 juta yuan RMB untuk membina semula sekolah tersebut. Sekarang ini, seramai lebih 1,200 orang murid sedang mengikuti pelajaran di sekolah tersebut.

Wang Kaixing ialah seorang penduduk di Kampung Yuanxing, Pekan Leigu. Anaknya bersekolah di sekolah tersebut. Kata Wang Kaixing, "Penduduk dari Shangdong telah memberikan sokongan yang besar terhadap pembangunan semula kampung halaman saya. Saya, bagi pihak penduduk kampung saya mengucapkan terima kasih kepada mereka."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China