Cari:
Filipina Memperbaiki Iklim Pelaburan dan Berusaha Menjayakan CAFTA
2010-02-05 13:37:48 CRI Cetak

Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) siap ditubuhkan pada 1 Januari seperti yang dijadualkan. Kawasan perdagangan ini ditubuhkan bukan sahaja bertujuan untuk mempererat kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak, tetapi juga hasil daripada perkembangan kerjasama ekonomi dan proses integrasi serantau. CAFTA dianggap menyediakan satu platform yang amat baik bagi mengeratkan hubungan kerjasama antara China dengan negara-negara ASEAN, khususnya kerjasama dalam menangani krisis kewangan global. Menteri Kewangan Filipina, Encik Margarito Teves memandang baik prospek masa depan CAFTA.

Ketika ditemubual oleh wartawan CRI baru-baru ini, Encik Margarito memaklumkan usaha Filipina dalam mendorong proses penubuhan CAFTA ini serta prospeknya pada masa depan. Kata beliau: "Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN merupakan sebuah pasaran yang amat besar dengan mempunyai seramai 1.9 bilion orang penduduk, KDNKnya yang mencatat hampir 6000 bilion dolar Amerika serta jumlah perdagangan yang mencatat 4500 bilion dolar Amerika. Ia, sebuah pasaran yang lebih meluas yang diwujudkan untuk jualan produk yang dihasilkan oleh syarikat kedua-dua pihak. Perjanjian perdagangan bebas yang dicapai oleh China dan ASEAN boleh membantu meningkatkan produktiviti dan kecekapan syarikat serantau di samping memperluaskan lagi perdagangan dan kerjasama antara kedua-dua pihak. Perkara ini boleh memberikan banyak peluang dan keuntungan yang realistik kepada rakyat. Demi menjayakan CAFTA ini, negara-negara yang terlibat perlu mengekalkan kerjasama persahabatan dan saling membantu. "

Kerajaan Filipina telah menyusun semula beberapa dasarnya agar bersesuaian dengan perkembangan semasa CAFTA. Tindakan ini diambil untuk mempergiatkan lagi kegiatan perdagangan dengan negara serantau dan menggalakkan pelaburan asing di negara itu. Menurut Encik Teves, kerajaan Filipina melaksanakan dasar kewangan yang berhati-hati mulai tahun ini di samping meneruskan usaha dalam mengemaskini sumber-sumber kewangannya. Dengan dasar dan pendekatan yang diambil ini, Filipina menyasarkan matlamat supaya kadar pertumbuhan KDNK meningkat kepada 2.6% pada tahun ini daripada 0.8% pada tahun lalu, dan merealisasikan keseimbangan antara perbelanjaan dan pendapatan pada tahun 2013. Baginya, hal ini amat penting bagi menambah keyakinan pelabur asing.

Encik Teves merakamkan penghargaan atas sokongan dan bantuan yang diberikan oleh China kepada negara anggota ASEAN. Kata beliau, bantuan ini juga boleh dilihat daripada Perjanjian Inisiatif Pelbagai Hala Chiang Mai yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak. Menurut perjanjian tersebut, dana sebanyak 120 bilion dolar Amerika akan digunakan bagi merealisasikan keseimbangan antara pendapatan dengan perbelanjaan di kawasan serantau, dan membantu mengatasi masalah kecairan modal. Menurutnya, kerajaan Filipina juga gembira melihat Tabung Kerjasama Pelaburan China-ASEAN yang bernilai 10 bilion dolar Amerika akan beroperasi tidak lama lagi. Encik Teves menyatakan, tabung yang ditubuhkan oleh China ini amat membantu bagi pemulihan ekonomi negara anggota ASEAN, terutama dengan dana sebanyak satu bilion dolar Amerika pada fasa pertama yang akan digunakan bagi membantu pembinaan infrastruktur dan kemudahan sumber tenaga di beberapa negara ASEAN yang terlibat. Mengenai bantuan yang diberikan oleh China kepada Filipina, Menteri Kewangan itu berkata: "China juga menandatangani beberapa perjanjian bantuan dua hala dengan Filipina yang melibatkan dana melebihi 2 bilion dolar Amerika sebelum ini. Perjanjian-perjanjian tersebut melibatkan beberapa projek pembinaan infrastruktur, seperti kemudahan pengairan dan landasan kereta api. Kebanyakan program bantuan tersebut digariskan dalam perjanjian perdagangan bebas antara kedua-dua pihak."

Ketika mengimbas kembali pengalaman Filipina dalam menangani krisis kewangan, Encik Vetes yang juga seorang ahli ekonomi dan ahli perbankan yang berpengalaman luas berkata: "Krisis kewangan Asia yang berlaku pada penghujung tahun 1990-an merupakan pengajaran yang perlu diambil oleh Filipina dan semua negara ASEAN yang lain. Selepas merasa kesannya yang hebat, kita telah mengadakan pembaharuan terhadap sistem kewangan dan sistem perbankan, termasuk meningkatkan ketelusan institusi perbankan dan menambah modal mereka. Perkara ini menjadikan sistem perbankan di kebanyakan negara ASEAN lebih kukuh. Maka, krisis kewangan global yang berlaku pada akhir tahun 2008 tidak memberikan kesan yang teruk kepada institusi perbankan kita."

Tiga tahun lalu, Bank Negara Filipina mengesahkan pertukaran langsung antara mata wang RMB dengan peso, iaitu mata wang negara itu. Nilai pertukaran mata wang RMB yang dikendalikan dalam urusan beberapa bank Fipilina tetap meningkat pada tahun lalu. Menurut Encik Teves, lebih banyak mata wang RMB akan digunapakai dalam perdagangan dua hala berikutuan peningkatan perdagangan antara China dengan Filipina. Kata beliau: "Jika melihat dasar bakul mata wang yang diamalkan oleh kerajaan Filipina, mata wang RMB memainkan peranan yang amat penting dalam kegiatan perdagangan dan pelaburan di Filipina. Pada pendapat saya, kedudukan mata wang China di pasaran antarabangsa akan meningkat lagi beberapa tahun akan datang."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China