Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) telah diwujudkan pada 1 Januari lalu. CAFTA dianggap bakal menyediakan peluang yang baik bagi syarikat-syarikat kedua-dua pihak untuk terus mempergiat kerjasama dan mewujudkan pembangunan masing-masing secara besar-besaran.
Kerjasama ekonomi dan perdagangan dianggap asas yang amat penting kepada hubungan rakan strategik China-ASEAN. Dengan kewujudan CAFTA, lebih 90% barangan dalam perdagangan antara China dengan ASEAN boleh menikmati status bebas tarif. Serentak dengan itu, kedua-dua pihak juga akan membuka pasaran perdagangan perkhidmatan antara satu sama lain berdasarkan langkah-langkah yang realistik. Menurut Encik Zhang Kening, Kaunselor daripada Jabatan Hubungan Ekonomi dan Perdagangan Antarabangsa Kementerian Perdagangan China, Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN akan menyediakan syarat yang amat baik kepada kedua-dua pihak untuk merealisasikan perdagangan bebas. Hal ini bermanfaat bagi memperbaiki iklim pelaburan di negara-negara yang terlibat dan merancakkan kerjasama antara syarikat serantau. Kata beliau: "Kegiatan perdagangan antara China dengan ASEAN akan meningkat kepada satu tahap yang baru berikutan penurunan tarif perdagangan dan pembukaan pasaran perkhidmatan. Jumlah perdagangan dan pelaburan antara satu sama lain dijangka akan meningkat dengan ketara. Kita berharap CAFTA boleh memberikan kesan positif kepada kegiatan perdagangan dan kerjasama ekonomi antara China dengan ASEAN."
Menurut Kaunselor itu, bagi China dan ASEAN, CAFTA merupakan kawasan perdagangan bebas pertama yang ditubuhkan dengan negara asing. Ia juga merupakan kawasan perdagangan bebas pertama yang ditubuhkan oleh negara membangun. "Besar" merupakan ciri utama yang dimiliki CAFTA. China dan negara-negara ASEAN mempunyai bumi wilayah yang luasnya mencatat 14 juta kilometer persegi. Selain itu, CAFTA mempunyai potensi pasaran yang amat besar kerana mempunyai penduduk seramai 1.9 bilion orang dan KDNK yang hampir 6,000 bilion dolar Amerika. Ini menyediakan syarat yang baik kepada syarikat kedua-dua pihak untuk meneroka ruang kerjasama.
Ekonomi China dan negara-negara ASEAN cukup dinamik pada beberapa tahun lepas, meskipun dilanda krisis kewangan global. Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN dianggap mempunyai makna yang penting dalam proses globalisai ekonomi dan mengemaskni sumber-sumber dan pasaran untuk syarikat serantau. Kata Encik Zhang Kening: "Demi menyesuaikan diri dengan keadaan terkini, syarikat perlu mempunyai pandangan yang jauh dan menyusun strategi pengurusan berdasarkan pasaran bersepadu yang direalisasikan melalui penubuhan CAFTA, tetapi bukanlah hanya menumpukan kepada pasaran domestik sahaja. Syarikat serantau menikmati kesaksamaan daripada peraturan dan keutamaan yang disediakan oleh CAFTA."
Bilangan negara yang terlibat dalam CAFTA ini agak besar, malah keadaan di negara-negara tersebut berbeza-beza. Oleh yang demikian, Zhang Kening berkata, syarikat serantau perlu mengetahui dengan menyeluruh tentang keadaan di negara-negara berbabit. Ini termasuk, peraturan undang-undang, operasi ekonomi, struktur industri, skala pasaran dan kelaziman berbelanja oleh para pengguna. Menurut beliau, hal ini amat penting bagi syarikat serantau untuk memanfaatkan dasar-dasar CAFTA.
Kini, terdapat banyak syarikat serantau yang menghadapi masalah dalam meneroka pasaran serantau kerana tidak mengetahui tentang dasar-dasar CAFTA. Ketika menyebut tentang hal ini, Kaunselor Zhang Kening berkata: "Beberapa syarikat tidak memberikan perhatian kepada CAFTA kerana proses penurunan tarif dibuat secara beransur-ansur, sehingga mereka tidak menyedari apakah keuntungan yang boleh diperoleh dalam hal ini. "
Dalam usaha menubuhkan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN, kerajaan China khususnya Kementerian Perdagangan telah memberikan sumbangan yang luar biasa sifatnya dan memainkan peranan sebagai penyelaras dan penyedia perkhidmatan. Kementerian tersebut telah mengadakan aktiviti promosi dasar kawasan perdagangan bebas, menerbitkan buku dan majalah berkaitan dengannya dan juga membuka laman sesawang perkhidmatan CAFTA untuk membantu syarikat-syarikat kedua-dua pihak mendapatkan maklumat berguna dan menggalakkan syarikat dan rakyat kedua-dua pihak menikmati kemudahan kawasan perdagangan bebas ini.
Kaunselor Zhang Kening memaklumkan bahawa Kementerian Perdagangan China sentiasa berusaha mengekalkan hubungan erat dengan ASEAN yang membantu menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh syarikat di kedua-dua pihak. Contohnya, dengan mekanisme mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Perdagangan yang akan diadakan beberapa kali setahun, pihaknya akan beberjasama dengan badan-badan berkaitan dari negara ASEAN untuk bersama-sama meneliti pelaksanaan perjanjian mengenai CAFTA, dan berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Selain itu, kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam usaha mempromosi dasar dan peraturan yang berangkut paut dengan CAFTA. Kaunselor Zhang Kening berkata: "Dengan adanya usaha interaksi tersebut, kita dapat mengumpulkan dan merumuskan pelbagai masalah yang dihadapi oleh syarikat serantau setelah kawasan perdagangan bebas ini beroperasi. Hal ini boleh membantu kalangan perniagaan memperoleh manfaatnya, dan memastikan perjanjian berhubung dengan CAFTA ini boleh dilaksanakan dengan berkesan. Pihak kami akan terus berusaha ke arah menyempurnakan tugas yang sewajarnya dan memastikan perjanjian yang dicapai oleh kerajaan kedua-dua pihak benar-benar membawa faedah kepada syarikat dan rakyat kita."
.