Cari:
Pembinaan Taman Ekspo Dunia 2010 Shanghai Hampir Selesai
2010-03-31 16:23:23 CRI Cetak

Ekspo Dunia 2010 akan diadakan di Shanghai bermula pada 1 Mei nanti. Ketika ditemubual oleh wartawan semalam, Naib Datuk Bandar Shanghai yang juga Naib Pengarah Jawatankuasa Penganjur Ekspo Dunia Shanghai, Yang Xiong berkata bahawa kini usaha membina Taman Ekspo Dunia telah memasuki fasa terakhir. Di samping itu, kerja menyiapkan ruang pameran dan menjamin keselamatan pula sedang berjalan dengan lancar.

Ekspo Dunia 2010 di Shanghai ini bakal mencipta banyak rekod baru dalam sejarah ekspo dunia, terutamanya apabila ia pertama kali diadakan di negara membangun dan melibatkan jumlah peserta yang paling banyak, iaitu 242 buah negara dan pertubuhan antarabangsa. Selain itu, ini juga merupakan kali pertama ekspo ini diadakan di pusat sebuah bandar raya yang begitu besar.

Encik Yang Xiong memaklumkan bahawa kini pembinaan beberapa buah bangunan utama di Taman Ekspo Dunia ini, termasuk dewan pameran China, dewan pameran tema utama, Pusat Ekspo Dunia dan Pusat Kebudayaan Ekspo Dunia telah pun selesai. Taman Ekspo Dunia ini akan beroperasi secara percubaan pada 20 April nanti. Kata beliau: "Terdapat 42 buah negara dan pertubuhan antarabangsa yang mendirikan dewan pameran sendiri dalam Ekspo Dunia ini. Kebanyakan mereka telah mula mendirikan gerai pameran di dewan pameran masing-masing. Setakat ini, kerja mendirikan gerai pameran di zon percubaan bandar sudah hampir selesai. Penubuhan zon tersebut juga merupakan satu inovasi dalam Ekspo Dunia kali ini. 70% daripada dewan pameran tersebut akan beroperasi secara percubaan pada 20 April nanti. Mungkin terdapat juga negara atau pertubuhan antarabangsa yang tidak dapat merasmikan dewan pameran mereka menurut masa yang dijadualkan atas pelbagai sebab, namun keadaan itu pasti tidak banyak berlaku."

Dewan pameran A.S. yang luasnya 6,000 meter persegi adalah dewan pameran yang kedua terbesar dalam Ekspo Dunia kali ini, iaitu selepas dewan pameran China. Ketua Pengurus dewan pameran A.S., Encik Mark Germyn memberitahu wartawan bahawa dewan pameran mereka akan siap dan dirasmikan menurut jadualnya. Kata beliau: "Kerja mendirikan dewan pameran kami setanding dengan pelbagai negara lain. Sekarang, kami sedang mengubahsuai alat pembesar suara dan lampu di samping menyempurnakan pelan pameran. Kerja menyiapkan ruang pameran kami melibatkan banyak tenaga profesional."

Ekspo Dunia 2010 di Shanghai ini menyasarkan kedatangan pengunjung seramai 70 juta orang. Sehubungan dengan itu, menurut anggaran yang dibuat oleh sesetengah syarikat profesional, Taman Ekspo Dunia ini dijangka menarik kedatangan 400 ribu orang pengunjung setiap hari, dan barangkali mencatat angka 800 ribu orang pada masa puncaknya. Ketika menyebut tentang kerja untuk menjamin keselamatan dan kelancaran lalu lintas dalam masa berlangsungnya ekspo ini, Encik Yang Xiong berkata: "Para pengunjung perlu melalui pemeriksaan keselamatan. Oleh itu, para pengunjung diharap dapat memberikan kerjasama dan jangan membawa cecair, bahan yang tajam dan alat penyala api ke dalam Taman Ekspo Dunia ini. Pemeriksaan keselamatan ini juga akan dilaksanakan di beberapa stesen kereta api bawah tanah yang besar. Selain itu, kami juga akan mengambil pelbagai langkah untuk mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas dan peristiwa pijak-memijak. Ini termasuk menghadkan jumlah pengunjung bagi tiga hari pertama ekspo ini, dan seminggu sebelum berakhirnya ekspo. Kami juga akan memaklumkan jumlah pengunjung ke ekspo ini melalui kaca TV dan media yang dipasang di tepi jalan raya untuk memberikan panduan maklumat kepada para pengunjung.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China