Ekspo Dunia yang bersejarah 159 tahun ini akan berlangsung di Shanghai, China 30 hari lagi. Dalam satu majlis yang diadakan di dataran depan Dewan Pameran China, kakitangan daripada pelbagai pihak penganjur berikrar untuk menyelesaikan semua kerja persiapan untuk menjayakan ekspo ini dan memberikan perkhidmatan yang memuaskan kepada para pengunjung.
Walaupun majlis tersebut diadakan ketika hujan turun, tetapi, pegawai daripada pihak penganjur, anggota penyelamat, sukarelawan dan pelayan yang akan bertugas dalam Ekspo Dunia ini tetap hadir dengan penuh semangat.
Ketua Pengarah Jabatan Ekspo Dunia Shanghai, Hong Hao ketika berucap pada majlis itu berkata, Ekspo Dunia kali ini akan diadakan secara percubaan pada 20 April nanti. Sehubungan dengan itu, pihak penganjur sedang sibuk berusaha untuk memastikan keselamatan dan perjalanan ekspo ini terjamin di samping menyediakan perkhidmatan yang baik kepada pengunjung dari pelbagai negara. Kata beliau: "Kami akan membuat ujian yang menyeluruh terhadap semua kemudahan infrastruktur dan dewan pameran di sini, untuk memastikan semua kemudahan dapat beroperasi dengan baik. Di samping itu, kami juga akan melaksanakan pelbagai perancangan secara percubaan, terutamanya dalam usaha memberikan layanan kepada tetamu kehormat dan perkhidmatan untuk media. Selain itu, kami juga memberikan perhatian penuh kepada segala cadangan yang berkait dengan usaha untuk menjamin keselamatan, dan berusaha meningkatkan kemampuan untuk menangani peristiwa cemas. Kami akan sentiasa memberikan perkhidmatan yang baik dan berprestij kepada para peserta, artis dan pengunjung dari dalam dan luar negeri."
Ekspo Dunia di Shanghai ini akan disertai oleh 242 buah negara dan pertubuhan antarabangsa. Setakat ini, beberapa buah bangunan utama untuk ekspo ini, termasuk dewan pameran China, dewan pameran tema utama, Pusat Ekspo Dunia dan Pusat Kebudayaan Ekspo Dunia telah siap dibina.
Selain itu, beberapa kemudahan infrastruktur besar di luar Taman Ekspo Dunia juga telah disiapkan baru-baru ini. Ini termasuk Pusat Perhubungan Lalu Lintas Hongqiao yang bertaraf antarabangsa.
Ketika berucap dalam majlis itu, Setiausaha Jawatankuasa Shanghai Parti Komunis China, Yu Zhengsheng menyatakan bahawa ada kemungkinan pelbagai kesukaran dan cabaran akan timbul dalam Ekpso Dunia yang akan berlangsung selama 184 hari itu nanti. Bagaimanapun, dengan usaha yang bersungguh-sungguh oleh pelbagai pihak yang terlibat, Ekspo Dunia 2010 di Shanghai ini pasti akan berlangsung dengan jayanya dan meninggalkan ingatan yang mendalam kepada dunia. Kata beliau: "Menganjurkan Ekspo Dunia merupakan idaman bangsa China sejak sekian lama. Ini juga merupakan kali pertama bagi ekspo ini diadakan di negara membangun. Dalam masa 184 hari ekspo ini berlangsung nanti, kita mungkin akan menghadapi banyak cabaran dan kesukaran yang tidak dapat diduga. Namun, saya yakin kita pasti boleh mencapai matlamat kita untuk menjayakan Ekspo Dunia ini."