Cari:
Aichi, Jepun Berkongsi Pengalamannya Dalam Menganjurkan Ekspo Dunia 2005
2010-04-13 14:35:00 CRI Cetak

Ekspo Dunia yang bertemakan "Kebijaksanaan Menangani Alam Sekitar" telah diadakan di Aichi, Jepun pada tahun 2005. Pelbagai teknologi yang moden, termasuk robot yang menyerupai manusia, gambar tiga dimensi dan bas tanpa pemandu yang dipamerkan dalam ekspo di Aichi itu telah memberikan kesan yang mendalam kepada para pengunjung ekspo tersebut. Sementara itu, jumlah pengunjung bagi Ekspo Dunia 2005 di Aichi itu telah mencatat rekod tertinggi yang baru, iaitu 22 juta orang.

Naib Pengarah Jabatan Industri dan Pekerja Aichi, Encik Tadashi Inoue adalah orang yang bertanggungjawab terhadap pembangunan industri, perdagangan dan pelancongan di Aichi. Beliau amat mesra dan teruja ketika diwawancara oleh wartawan CRI kerana beliau merupakan seorang pendengar setia radio bahasa Jepun CRI sejak tahun 1970-an lagi. Menurut beliau, pemilihan "Kebijaksanaan Menangani Alam Sekitar" sebagai tema utama Ekspo Dunia di Aichi itu adalah untuk menyeru masyarakat supaya memberikan perhatian kepada masalah yang dihadapi dalam memajukan dan membangunkan manusia, seperti masalah alam sekitar, jumlah penduduk, bahan makanan dan sumber tenaga. Tegas beliau, kesedaran penduduk tentang usaha melindungi alam sekitar perlu ditingkatkan melalui ekspo dunia. Beliau berkata:

"Orang awam di Aichi dapat menyertai aktiviti ekspo dunia julung-julung kalinya dalam Ekspo Dunia di Aichi ini. Dewan pameran bagi warga bandar juga pertama kali diwujudkan dalam sejarah kewujudan Jabatan Pameran Antarabangsa Ekspo Dunia sejak lebih 150 tahun yang lalu. Selain itu, sebuah kampung warga dunia juga dibina dalam taman Ekspo Dunia di Aichi ini bagi pelbagai kumpulan sukarelawan untuk menjalankan aktiviti mereka. Ekspo Dunia di Aichi ini menjadi wahana bagi penduduk untuk memainkan peranan mereka. Maka, itulah sebabnya ekspo dunia ini menjadi lebih dinamik."

Persatuan Sukarelawan Aichi telah ditubuhkan menjelang Ekspo Dunia 2005 di Aichi untuk menggalakkan penduduk menyertai aktiviti ekspo dunia ini. Encik Tadashi Inoue sendiri menjadi petugas persatuan tersebut selama lebih setahun. Menurut statistik, lebih 27 ribu orang telah mendaftarkan diri menjadi sukarelawan bagi Ekspo Dunia di Aichi ini, namun lebih daripada 110 ribu orang telah menyertai perkhidmatan sukarelawan tersebut. Pada pandangan Encik Tadashi Inoue, keyakinan diri penduduk bertambah dengan menyertai aktiviti ekspo dunia ini. Kata beliau,

"Ekspo Dunia yang dianjurkan di Aichi itu menjadikan setiap penduduk dapat menyertai aktiviti antarabangsa yang begitu penting ini. Mereka lebih yakin kepada keupayaan diri sendiri. Ini merupakan warisan rohani yang berharga kepada penduduk Aichi dan ini amat penting untuk pembangunan Aichi pada masa akan datang."

Ketika menyentuh tentang Ekspo Dunia 2010 yang akan bermula di Shanghai tidak lama lagi itu, Encik Tadashi Inoue menyatakan bahawa ekspo ini patut menggalakkan warga tempatan menyertai lebih banyak perkhidmatan seperti menjadi pemandu pelancong, pembantu perubatan dan pengurusan sampah sarap. Kata beliau,

"Aktiviti sukarelawan tidak berhenti selepas Ekspo Dunia di Aichi berakhir. Pihak penganjur Ekspo Dunia di Shanghai perlu mengambil pengalaman ini supaya lebih banyak warga tempatan dapat menyertai dan bersama-sama menjayakan temasya ini."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China