Ekspo Dunia 2010 akan dirasmikan di Shanghai tidak lama lagi. Sebagai salah satu negara peserta ekspo ini, kerajaan Thai berusaha membina Dewan Pameran Thailand yang menarik supaya menunjukkan keistimewaan negara tersebut kepada para pengunjung dari seluruh dunia. Wartawan CRI telah membuat liputan ke Shanghai dan mewawancara Ketua Konsul Thailand di Shanghai, Encik Piroon Laismit. Beliau terlebih dahulu memuji pihak penganjur yang mengadakan temasya Ekspo Dunia kali ini. Kata beliau,
"Ekspo Dunia 2010 di Shanghai merupakan satu lagi temasya peringkat dunia yang dianjurkan oleh China selepas Sukan Olimpik pada tahun 2008. Rakyat Thailand, sama seperti rakyat China tidak sabar lagi menunggu perasmian ekspo dunia ini."
Pertama kali Thailand menghantar delegasi untuk menyertai Ekspo Industri dan Kesenian Antarabangsa ini ialah pada tahun 1862, iaitu ketika ekspo ini diadakan di London. Langkahnya itu telah memberikan kesan besar kepada perkembangan negaranya dalam tempoh berpuluh-puluh tahun selepas itu kerana ia memberikan galakan untuk memajukan perdagangan dan pelaburan Thailand.
Encik Piroon Laismit menyatakan bahawa hubungan persahabatan Thailand-China amat rapat dan mempunyai sejarah yang lama. Kerajaan dan rakyat Thailand memberikan sokongan yang kuat dan perhatian yang besar terhadap ekspo dunia ini. Menurut beliau, beberapa buah kementerian di Thailand, termasuk Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia, Kementerian Perdagangan, Kementerian Kebudayaan, Kementerian Pelancongan dan Kementerian Sukan serta Jabatan Persidangan dan Pameran Thailand telah bekerjasama untuk membuat kerja persiapan menyertai ekspo dunia ini. Selain itu, warga negara Thailand juga digalakkan untuk menyertai ekspo dunia ini. Kata beliau,
"Aktiviti mempromosikan ekspo dunia ini diadakan secara khusus di Thailand pada bulan November tahun yang lalu. Warga negara boleh memberikan cadangan tentang semua barang pameran atau konsep reka bentuk dewan pameran yang akan dipamerkan dalam Ekspo Dunia Shanghai ini. Dengan itu, rakyat Thailand boleh merasakan bahawa penyertaan dalam ekspo dunia ini bukan hanya urusan kerajaan, tetapi melibatkan mereka juga."
Ketika menyentuh tentang reka bentuk Dewan Pameran Thailand, Encik Piroon Laismit menyatakan bahawa seni bina dewan tersebut dihasilkan untuk menonjolkan keunikan Thailand. Maka ia dibina mengikut corak tradisi bangunan Thailand. Tema utama dewan tersebut ialah "Keunikan Thailand Gaya Hidup Berterusan".
Menurut Encik Piroon Laismit, lebih 6 juta orang dijangka akan mengunjungi Dewan Pameran Thailand ketika ekspo dunia ini berlangsung. Oleh sebab situasi industri pelancongan agak terjejas akibat kemerosotan ekonomi dan pergolakan politik di Thailand sekarang, kerajaan Thailand berharap ekspo dunia ini akan membawa lebih banyak peluang perniagaan kepada industri tersebut dan syarikat-syarikat yang berkaitan dengannya di Thailand. Kata beliau,
"Kami berharap Thailand dapat menarik lebih banyak pelancong melawat ke Thailand. Lebih banyak syarikat China juga diharapkan dapat mengetahui lebih banyak tentang Thailand melalui ekspo dunia ini supaya mereka dapat bersedia untuk melaksanakan kerjasama dengan syarikat Thailand."
Para pengunjung ekspo ini juga dapat menikmati makanan tradisi Thai dan persembahan tarian serta nyanyian Thai yang menarik dalam pelbagai aktiviti sepanjang masa ekspo dunia ini berlangsung di Shanghai.