Ekspo Dunia 2010 di Shanghai semalam beroperasi buat pertama kalinya secara percubaan untuk memastikan sistemnya beroperasi dengan sempurna dan menjamin kejayaan ekspo kali ini. Dewan pameran China, 31 buah dewan pameran peringkat provinsi China, Pusat Ekspo Dunia serta beberapa buah dewan pameran negara lain telah menyertai percubaan tersebut.
Kira-kira 200 ribu pelancong telah melawat ke taman ekspo dunia semalam. Encik Zhang, seorang warga Shanghai yang merupakan petugas dalam salah sebuah pihak yang menyertai ekspo dunia ini, semalam membawa keluarganya khusus untuk melancong ke taman ekspo ini. Beliau berkata:
"Taman ini bukan main cantik. Dewan pameran Hong Kong memperlihatkan teknologi moden yang luar biasa. Dewan pameran Mongolia Dalam pula membawa para pelawat ke padang rumput. Pertunjukan adat minum teh dalam dewan pameran Chongqing sungguh menarik. Ini merupakan kali pertama bagi China menganjurkan ekspo dunia. Ini memang merupakan peluang yang baik bagi China. Dewan pameran dan kemudahan dalam taman ini cukup baik, walaupun perkhidmatannya masih dapat ditingkakan lagi. Semoga Shanghai berjaya menganjurkan ekspo dunia yang harmoni."
Dalam percubaan semalam, pelawat China ramai yang memilih untuk melawat ke pelbagai dewan negara luar dahulu. Jurucakap dewan pameran Jerman, Marion Conrady berkata, dewan mereka mampu melayan 45 ribu pelawat setiap hari. Berdasarkan keadaan semalam, pelawat ke dewan mereka agak ramai. Pihaknya akan mengubah suai rancangan penerimaan pada beberapa hari akan datang. Selain itu, beliau juga memberikan cadangan. Kata beliau:
"Membuka lebih banyak pintu masuk sangat diperlukan. Ini juga tidak susah melaksanakannya. Tugas kami sebagai peserta pameran pula bergantung pada betapa baiknya penyusunan pihak taman ekspo ini. Semua pekerja di dewan ini boleh berkomunikasi dengan para pelawat dalam bahasa Mandarin, Jerman atau Inggris. Sebahagian daripada mereka ini merupakan pekerja China yang pernah belajar atau bekerja di Jerman. Jadi, mereka memahami keadaan di China dan di Jerman dengan baik."
Sebahagian infrastruktur juga beroperasi dalam percubaan semalam. Peraturan berbaris di pelbagai dewan pameran turut diberitahu melalui sistem penyiaran. Ramalan cuaca dan maklumat berkenaan yang lain ditayangkan di skrin besar dalam taman ini. Jaringan lalu lintas, termasuk kereta yang menggunakan tenaga baru pula mulai beroperasi dalam taman. Sementara itu, lebih 10 ribu sukarelawan pula mula menyediakan perkhidmatan kepada para pelancong semalam. Talian penting ekspo dunia juga dibuka secara rasmi untuk menyediakan perkhidmatan dalam 12 jenis bahasa, termasuk bahasa Mandarin, Inggeris, Perancis dan Jepun.
Naib Ketua Pengarah Jabatan Penyelarasan Hal Ehwal Ekspo Dunia Shanghai, Zhu Yonglei memaklumkan bahawa:
"Kami akan berusaha menyediakan perkhidmatan yang baik kepada pelancong dari seluruh dunia. Talian penting ekspo dunia ini dalam bahasa Mandarin telah dibuka dua tahun yang lalu. Menjelang perasmian Ekspo Dunia 2010 di Shanghai ini, perkhidmatan dalam pelbagai jenis bahasa asing pula dibuka bagi para pelancong asing. Saudara boleh mendapat layanan perkhidmatan dalam bahasa-bahasa tersebut dengan mendail nombor 962010. Petugas yang bekerja di pusat perkhidmatan talian penting ini didatangkan dari China dan seluruh dunia. Misalnya, talian penting bahasa Rusia petugasnya ialah orang dari Rusia."
Sebelum Ekspo Dunia 2010 di Shanghai ini dirasmikan pada 1 Mei nanti, percubaan tersebut akan diadakan 5 kali lagi untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dikesan dan menjamin ekspo dunia kali ini berjalan dengan lancar.