Cari:
Shanghai Bersiap Sedia untuk Jayakan Ekspo Dunia
2010-04-29 15:22:47 CRI Cetak

Ekpso Dunia 2010 akan dirasmikan di Shanghai pada malam 30 April nanti. Ekspo ini telah mengadakan 6 kali operasi percubaan sejak 20 April lalu, dan telah menerima kunjungan lebih sejuta orang pengunjung. Menurut ahli Jawatankuasa Penganjur Ekspo Dunia 2010 yang juga Naib Datuk Bandar Shanghai, Encik Yang Xiong, operasi percubaan ini membantu memastikan semua kemudahan boleh beroperasi dengan lancar dan membantu pihak penganjur supaya menyempurnakan perkhidmatannya untuk para pengunjung. Kata beliau: "Pertama, melalui operasi percubaan ini, kami boleh mengetahui tentang kebiasaan pengunjung ketika mengunjung ekspo ini; kedua, memastikan kemudahan perkhidmatan yang disediakan adalah mencukupi dan operasinya agak memuaskan; ketiga, sistem tempahan kunjungan akan terus disempurnakan; keempat, masakan untuk pengunjung cukup banyak pilihannya, terutamanya makanan yang berharga sederhana; kelima, kakitangan dan sukarelawan dianggap mampu memberikan perkhidmatan yang memuaskan."

Ekspo Dunia 2010 ini mencatat beberapa rekod baru dalam sejarah ekspo ini, termasuk luas pavilionnya dan jumlah pesertanya. Setakat ini, 189 buah negara dan 57 buah pertubuhan antarabangsa telah mengesahkan penyertaan mereka dalam ekspo ini. Ketua Setiausaha Biro Ekspo Antarabangsa (BIE), Vicente Gonzalez Loscertales berkata, pameran dalam ekspo ini tetap dikekalkan pada taraf yang tinggi walaupun jumlah peserta mencatat angka yang begitu besar. Katanya: "Saya dengan sukacitanya memaklumkan, bahawa pada hakikatnya kita telah berjaya mengatasi cabaran krisis kewangan apabila semua negara mengambil bahagian dalam ekspo ini seperti yang dijadualkan. Melalui operasi percubaan, kita dapati bahawa pavilion yang ditubuhkan oleh pelbagai negara ini amat menarik, dan ia mengekalkan taraf pameran yang amat tinggi."

Sebagai sebahagian yang penting dalam pavilion China, dewan pameran provinsi dan bandar menerima kunjungan kira-kira 300 ribu orang dalam tempoh operasi percubaan, dan ini memainkan peranan penting dalam usaha untuk mengelakkan terlalu ramai pengunjung yang melawat pavilion negara China. Ahli Jawatankuasa Penganjur Ekspo Dunia 2010, Encik Wang Jinzhen berkata: "Dewan pameran provinsi yang ditubuhkan mengikut ciri-ciri pelbagai tempat di China boleh menunjukkan tamadun dan kebudayaan cemerlang negara ini serta kemajuan yang dicapai sejak terlaksananya dasar pembaharuan dan pintu terbuka. Dewan pameran tersebut seperti "taman bunga" yang memperlihatkan budaya bangsa China yang mengandungi ciri-ciri daripada pelbagai kaum. Pelbagai kaedah dan teknologi baru telah diperkenalkan untuk memastikan pameran tersebut lebih menarik. Ini termasuk persembahan nyanyian dan tarian serta teknologi robot dan laser."

Ekspo Dunia 2010 di Shanghai yang bertema "bandar lebih baik berikan kehidupan yang lebih baik" merupakan Ekpso Dunia Ke-41. Ekspo yang berlangsung selama 184 hari ini dijangka akan menarik kunjungan 70 juta orang pengunjung dari dalam dan luar negeri.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China