Presiden China, Hu Jintao telah merasmikan Ekspo Dunia 2010 Shanghai China di Pusat Budaya Ekspo Dunia malam tadi.
Dalam upacara perasmian itu, Ketua Pengarah Jawatankuasa Penganjur Ekspo Dunia 2010 Shanghai China, yang juga Naib Perdana Menteri China, Wang Qishan merakam ucapan terima kasih kepada 246 buah negara, pertubuhan antarabangsa dan perusahaan China dan luar negara yang menyertai pameran ekspo dunia kali ini. Beliau menyatakan, Ekspo Dunia 2010 Shanghai China yang buat pertama kalinya menggunakan tema "bandar" merupakan wahana inovasi, kerjasama dan interaksi bagi rakyat pelbagai negara. Ia akan membuka pintu bandar pada masa hadapan, membimbing cara hidup yang baru, meningkatkan keharmonian antara manusia dengan bandar dan alam, dan mendorong pembangunan bandar yang aman, bahagia dan mempunyai peradaban bagi mempercepat pembangunan manusia secara menyeluruh.
Pengerusi majlis mempersilakan Presiden Biro Pameran Antarabangsa, Encik Jean-Pierre Lafon menyatak, Ekspo Dunia memenuhi tuntutan kemajuan zaman, dialog dan persaingan yang tidak hanya terhad kepada sukan semata-mata. Ekspo ini akan menyumbang kepada kesedaran sosial supaya dengan itu bandar-bandar kita akan menjadi lebih lestari, adil, selamat dan harmoni.
Selepas Presiden Hu Jintao merasmikan Ekspo Dunia 2010, para seniman dari seluruh dunia telah membuat pertunjukan yang gilang gemilang. Persembahan bunga api dan air pancut yang diadakan di kedua-dua belah tebing Sungai Huangpu telah membawa suasana perayaan ke puncaknya.
Tema ekspo dunia kali ini ialah "Bandar Yang Lebih Baik Berikan Kehidupan Yang Lebih Baik". Semua peserta akan mempamerkan dan membincangkan peranan pendorong yang dibawa oleh bandar kepada pembangunan umat manusia dengan menggunakan wadah ini. Ini merupakan ekspo dunia bersepadu yang pertama kali dianjurkan di negara membangun, yang melibatkan 246 negara dan pertubuhan antarabangsa. Ekspo Dunia 2010 Shanghai China dijangka akan menarik lebih 700 juta pelancong dari seluruh dunia untuk menghayati teknologi yang paling canggih dan budaya yang paling cemerlang di sini.
Ekspo dunia kali ini juga menganjurkan buat pertama kali pameran "Kawasan Contoh Bandar Terbaik" (UBPA) yang mengumpulkan model pembangunan bandar dan modal percubahan pembangunan bandar dari lebih 50 buah bandar di seluruh dunia, dan "Ekspo Dunia dalam Laman Web", yang membolehkan pengguna internet di seluruh dunia mengunjungi ekspo dunia ini melalui internet.