Cari:
Ekspo Dunia di Shanghai Beroperasi dengan Teratur Sejak Dibuka Tiga Hari yang Lalu
2010-05-03 18:04:51 CRI Cetak

Sejak Ekspo Dunia di Shanghai dibuka secara rasmi pada 1 Mei lalu hingga pukul 1.00 petang tadi, jumlah pelawat mencecah 550 ribu orang. Sekarang pengurusan yang melibatkan pelbagai bidang dalam taman itu berjalan dengan teratur dan lancar. Selain pavilion beberapa buah negara dan pertubuhan antarabangsa yang masih lagi belum selesai kerja menghiasnya, pavilion lain semuanya telah dibuka kepada pelawat mengikut jadualnya.

Pihak penganjur Ekspo Dunia Shanghai pernah membuat ujian sebanyak enam kali pada penghujung bulan April untuk memeriksa kemudahan, tahap pemeriksaan keselamatan dan perkhidmatan dalam taman itu. Selepas dua hari taman ini menerima pelawat, kebanyakan pelawat menyatakan puas hati dengan perkhidmatan yang disediakan dalam taman itu. Seroang pelawat dari provinsi Jiangsu, Puan Yao berkata,

"Boleh tahan bagus. Sebelum datang ke sini, saya diberitahu kita terpaksa akan menunggu kira-kira dua jam sebelum dapat memasuki sesebuah pavilion. Tetapi setelah berbaris setengah jam sahaja, kami sudah dapat memasuki pavilion Australia untuk melawat. Selain itu, pihak penganjur juga menyediakan perkhidmatan yang istimewa bagi para pelawat untuk mengatasi cuaca yang amat panas dan kering di sini."

Buat masa ini, pavilion yang paling menarik minat pelawat termasuklah pavilion peringkat negara China, pavilion peringkat daerah China, pavilion Britain, Jepun, Sepanyol, Perancis dan Australia. Masa berbaris untuk memasuki semua pavilion inilah yang paling lama, iaitu lebih daripada tiga jam. Pegawai pavilion Australia, Puan Lyndall Sachs memberitahu wartawan,

"Tiga hari ini, kami amat teruja. Pelawat yang datang setiap hari mencecah 35 ribu orang. Mereka amat gembira dan sudah menunjukkan minat yang besar ketika berbaris. Pavilion kami direka bentuk supaya mampu menerima 40 ribu orang pengunjung setiap hari. Kami telah mengambil langkah untuk memastikan agar lawatan pengunjung menyeronokkan. Kami juga menasihatkan pelawat supaya sabar ketika menunggu di luar pavilion, kerana mereka akan berpeluang menyaksikan kegemilangan pavilion Australia."

Beberapa hari yang lalu, suhu udara di Shanghai naik mendadak dan hari ini meningkat ke 30 darjat Celsius. Ketua Jabatan Penyelarasan Urusan Ekspo Dunia Shanghai, Encik Hong Hao menjelaskan bahawa, semalam di tapak Ekspo Dunia Shanghai mula dipasang 500 hingga 600 buah payung, dan hari ini akan ditambah lagi. Selain itu, alat pemancut air untuk mendinginkan udara yang dipasang di tepi jalan dan di sekitar pavilion turut dibuka. Kata beliau,

"Kami telah mengambil beberapa langkah untuk menangani cuaca yang terlalu panas, misalnya sistem pemancut air yang dipasang di tepi jalan dan di kawasan rehat telah beroperasi dan sistem yang di kawasan lain sedang diuji. Beberapa hari yang akan datang ini, kami juga akan memasang lebih banyak payung, terutamanya di kawasan para pelawat berbaris. Kami juga menyediakan minuman yang mencukupi bagi para pelawat. Selain itu, hari ini kami juga menambah pekerja perubatan dan ambulans sekali ganda berbanding dengan semalam untuk memberikan rawatan segera jika diperlukan."

Encik Hong Hao menjelaskan bahawa bermula hari ini, beberapa kemudahan untuk pelawat khusus akan dimulakan, termasuk laluan untuk warga emas yang berusia 70 tahun lebih yang akan beroperasi di setiap pintu taman Ekspo Dunia Shanghai ini.

Beliau juga menasihatkan pelawat supaya memilih waktu petang dan malam untuk melawat supaya mengelakkan daripada kesesakan dalam taman itu. Untuk menggalakkan pelawat ke taman itu pada sebelah malam, persembahan lampu, pancutan air dan muzik akan dijalankan sejam sekali bermula pukul 7.00 malam setiap hari.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China