Bagaimanakah kaedah Ekspo Dunia dengan karbon rendah sebenarnya? Pengurus Besar Syarikat Pembinaan Karbon Rendah Yuanda yang sedang berkhidmat untuk Ekspo Dunia, Encik Fu Lixin memberikan jawapannya tentang masalah ini. Kata beliau,
"Saya fikir Ekspo Dunia dengan karbon rendah mempunyai erti dari dua segi. Yang pertama, menjadikan manusia membina kesedaran karbon rendah, dan kedua, mempamerkan produk dan kaedah karbon rendah yang telah dihasilkan di dunia melalui wadah yang disediakan oleh Ekspo Dunia di Shanghai ini."
Dalam Ekspo Dunia di Shanghai ini, konsep karbon rendah yang menjadi tema utama pelbagai peserta ini telah cuba dipamerkan. Dalam taman Ekspo Dunia dan kawasan sekitarnya kita dapat melihat tenaga alternatif digunakan. Lebih 500 buah kereta yang berjalan dengan menggunakan bateri sebagai sumber tenaganya boleh ditemui dalam taman ini. Selain itu, bangunan dalam taman itu juga dibina dengan menggunakan bahan yang menjimatkan tenaga, kurang pelepasan gas rumah hijau dan yang boleh digunakan semula.
Di pavilion Jaringan Elektrik Negara China yang bertema "Inovasi Merealisasikan Impian", konsep "Ekspo Dunia dengan karbon rendah" ini dapat dirasai. Seroang pekerja di situ, Encik Liu menyatakan bahawa beliau dan rakan sekerjanya sentiasa menjalankan penyelidikan tentang penggunaan tenaga semula jadi dengan lebih berkesan di samping mengurangkan penggunaannya. Kata beliau,
"Kami sekarang menggunakan bateri suria dalam pavilion ini. Pencawang elektrik berfungsi dengan menggunakan tenaga haba bumi, dan kami juga menggunakan tenaga angin melalui mesin yang dipasang di atas pavilion ini. Kesemu tenaga yang digunakan dalam pavilion ini juga dikawal melalui satu sistem elektronik yang pintar."
Sekarang mari kita melihat sistem penyaman udara yang digunakan dalam taman Ekspo Dunia Shanghai ini. Teknologi tanpa elektrik telah digunakan dalam sistem ini. Teknologi ini menggunakan kaedah mendinginkan udara secara terus dengan menggunakan tenaga haba. Sedangkan mengikut kaedah yang biasa, alat penyaman udara yang berfungsi dengan menggunakan tenaga elektrik akan melalui peralihan sebanyak lima kali, dan dalam proses itu akan melepaskan lebih banyak karbon dioksida. Pengurus Besar Syarikat Pembinaan Karbon Rendah Yuanda, Encik Fu Lixin berkata,
"Sistem penyaman udara tanpa menggunakan tenaga elektrik akan menjimatkan tenaga dua kali ganda berbanding dengan sistem biasa. Pelepasan karbon dioksidanya pula hanya 1/4 daripada pelepasan oleh alat penyaman udara biasa."
Selain itu, Syarikat Yuanda telah membina 22 buah pusat sumber tenaga dan menyediakan perkhidmatan sistem penyaman udara kepada lebih 200 buah pavilion. Menurut maklumatnya, kaedah operasi sistem penyaman udara sempurna itu telah digunakan di beberapa negara maju di Eropah. Perkhidmatan yang sedang disediakan dalam Ekspo Dunia di Shanghai ini akan membantu untuk mempercepatkan promosinya di seluruh dunia.