Cari:
Pavilion Negara China dalam Ekspo Dunia Gambarkan Kecerdasan Bangsa China dalam Pembangunan Bandar
2010-05-14 15:36:53 CRI Cetak

Ekspo Dunia 2010 yang bertema "bandar lebih baik berikan kehidupan lebih baik" telah dirasmikan di Shanghai pada 1 Mei lalu. Pavilion negara China dalam ekspo ini yang dibina dengan reka bentuk unik menjadi daya tarikan para pengunjung. Pavilion negara China merupakan bangunan yang paling tinggi dalam Taman Ekspo Dunia dengan ketinggiannya 69 meter dan berkeluasan lebih 40 ribu meter persegi. Pavilion China ialah sebuah bangunan yang reka bentuknya seperti topi atau corong yang berwarna merah. Pameran dalam pavilion China itu menumpu kepada memaparkan kegemilangan sejarah bangsa China selama lebih 5000 tahun serta kemajuan pembangunan yang dicapai sejak penubuhan Republik Rakyat China 60 tahun lalu, khususnya sejak pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka lebih 30 tahun lalu, serta prospek dan matlamat pembangunan bandar yang berterusan di negara ini.

Ketua pavilion negara China, Xu Hubin dalam sidang akhbar yang diadakan di Shanghai semalam berkata, kini 55% manusia hidup di bandar. Kehidupan di bandar memberikan kemudahan kepada manusia, namun pada waktu yang sama, ia turut mendatangkan pelbagai masalah dan kerisauan, seperti rasa sunyi dan kebisingan. Tema utama pavilion negara China selaras dengan tema utama Ekspo Dunia kali ini, iaitu melahirkan harapan untuk merealisasikan pembangunan bandar yang sihat dan berterusan, merancakkan komunikasi masyarakat dan mempertingkatkan usaha perlindungan warisan sejarah di bandar. Xu Hubin berkata: "Demi menyesuaikan diri dengan tema utama Ekspo Dunia kali ini, pavilion negara China dibina berdasarkan tema "kecerdasan bangsa China dalam pembangunan bandar". Pengunjung yang melawat pavilion negara China boleh menyaksikan dan menghayati kecerdasan bangsa China dalam proses pembangunan bandar."

Pameran yang paling menarik dalam pavilion negara China ialah lukisan "Pemandangan di Tebing Sungai Sempena Pesta Qingming" yang ditayangkan dengan menggunakan teknologi 3D di skrin yang panjangnya 128 meter dan tingginya 6.5 meter. Lukisan tersebut digelar sebagai satu daripada sepuluh karya lukisan klasik China. Ia dilukis oleh pelukis terkenal pada zaman Dinasti Song, Zhang Zeduan, dan menggambarkan kehidupan masyarakat dan adat resam di ibu kota pada zaman itu. Menurut Naib Ketua pavilion negara China, Qian Zhiguang, lukisan ini mencerminkan pemandangan yang mempesona di bandar China pada zaman purba kala. Kata beliau: "Lukisan 'Pemandangan di Tebing Sungai Sempena Pesta Qingming' ditayangkan dengan konsep inovasi, iaitu bukan sahaja menggambarkan pemandangan pada siang hari, tetapi juga memperlihatkan pemandangan yang indah pada sebelah malam."

Selain mengimbas kembali sejarah, menjangkau masa depan juga merupakan satu topik penting dalam pavilion negara China. Ini termasuk membentangkan konsep "masyarkat yang harmoni" dan "kehidupan yang rendah karbon". Qian Zhiguang berkata: "Ekspo Dunia merupakan jendela bagi memperlihatkan imej sesebuah negara dan juga wadah bagi melakukan interaksi budaya. Di samping itu, ia juga merupakan satu folum bagi membincangkan masalah utama yang dihadapi oleh umat manusia. Dalam ekspo ini, China bersedia berinteraksi dengan pelbagai negara dan bersama-sama membincangkan kaedah bagi menangani cabaran dalam proses urbanisasi."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China