Setiap kali diadakan Ekspo Dunia, pameran mengenai sains dan teknologi yang terkini akan menjadi bahagian yang paling menarik bagi para pengunjung, dan hasilnya terus melahirkan impak yang besar kepada kehidupan manusia. Buat masa ini, hasil penyelidikan sains dan teknologi yang baru selalu diumumkan segera, tidak seperti dahulu, menunggu hingga perasmian Ekspo Dunia baru ditunjukkan kepada masyarakat dunia, tetapi konsep sains dan teknologi dan penggunaannya yang dipamerkan dalam setiap Ekspo Dunia tetap amat menarik. Melalui pameran tersebut, kita dapat membayangkan kehidupan yang harmoni dan mesra alam di bandar pada masa depan.
Sains dan teknologi telah menjana kekayaan untuk manusia, sekali gus mengakibatkan pencemaran alam sekitar, kekurangan sumber tenaga dan perubahan iklim. Namun, loji tenaga suria yang berkapasiti 4.6 megawatt (MW), 500 buah kereta menggunakan sel bahan api, lebih 200 ribu lampu LED, sistem pengumpulan dan pengurusan air hujan dan sampah sarap, rangkaian cerdas pengangkutan dan sebagainya yang kelihatan dalam Ekspo Dunia di Shanghai ini menggambarkan konsep hijau, perlindungan alam sekitar dan karbon rendah.
Menteri Sains dan Teknologi China, Wan Gang menyifatkan Ekspo Dunia sebagai wahana bagi percubaan menggunakan teknologi yang baru untuk memandu arah aliran pembangunan bandar pada masa depan. Kata beliau,
"Pertama, sumber tenaga bersih akan banyak digunakan di bandar. Kedua, membangunkan ekonomi bandar dengan menggunakan sumber yang dikitar semula dan dengan keefisienan tinggi. Ketiga, perkembangan bandar akan dapat diketahui dari masa ke semasa. Keempat, industri perkhidmatan yang bergantung pada pengetahuan akan menjadi industri utama di bandar pada masa depan. Kelima, mewujudkan bandar secara berkelompok akan menjadi arah aliran pembangunan bandar."
Adakah kemajuan sains dan teknologi akan menyebabkan timbulnya masalah masyarakat, seperti pengangguran? Dalam Ekspo Dunia di Shanghai ini, isu ini juga menjadi bahan perbincangan pelbagai pihak. Sebagai contoh, lebih daripada 30% tenaga yang digunakan dalam sektor industri adalah robot yang dikeluarkan oleh Jepun. Jadi, adakah robot akan merampas peluang kerja manusia? Berkait dangan hal ini, wakil kawasan pameran Jepun dalam Ekspo Dunia di Shanghai, Hiroshi Tsukamoto menyatakan bahawa robot dan manusia memang boleh bekerja bersama-sama. Kata beliau,
"Dalam persekitaran yang amat buruk bagi manusia untuk bekerja, robot boleh menggantikan manusia untuk bekerja. Namun, manusia sentiasa berada di kedudukan utama. Demikianklah betapa pentingnya menggunakan teknologi robot secara santifik. Kita perlu menumpukan perhatian kepada hubungan yang harmoni antara teknologi dengan manusia, sama seperti konsep utama pavilion Jepun yang mengutamakan keharmonian antara teknologi dengan hati manusia."
Dalam menikmati kemudahan yang dihasilkan oleh sains dan teknologi, manusia semakin hari semakin menyedari betapa sumber alam semula jadi terbatas. Naib Ketua Jawatankuasa Eksekutif Ekspo Dunia Shanghai, Puan Zhong Yanqun menyatakan bahawa inovasi sains dan teknologi membawa kemudahan dan kegembiraan kepada manusia dan juga memimpin manusia kembali ke pangkuan alam semula jadi. Pada masa yang sama, penggunaan sains dan teknologi yang baru ini memerlukan panduan manusia yang rasional.
Menteri Sains dan Teknologi China, Wan Gang menyatakan bahawa Ekspo Dunia di Shanghai memang merupakan wadah bagi seluruh dunia untuk bertukar-tukar pandangan tentang perancangan, pembinaan dan pembangunan bandar pada masa depan. Beliau percaya interaksi seumpama itu pasti akan mendorong pembangunan bandar yang pesat, harmoni dan berterusan.