Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA) yang mula beroperasi pada 1 Januari lalu menandakan kegiatan perdagangan antara China dengan ASEAN memasuki "era tanpa tarif". Dalam tempoh setengah tahun pertama tahun ini, jumlah perdagangan China-ASEAN mencatat 136.5 bilion dolar Amerika, meningkat kira-kira 55% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Kini, ASEAN merupakan rakan dagang keempat terbesar bagi China. Menurut Kaunselor Perdagangan dari beberapa negara ASEAN dengan beroperasinya CAFTA akan merancakkan lagi kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dengan ASEAN, sehingga menerajui perkembangan ekonomi serantau.
Menurut perjanjian yang dicapai antara China dan ASEAN berhubung penubuhan kawasan perdagangan bebas, perdagangan antara China dengan enam buah negara anggota ASEAN yang lama, iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand telah menikmati status bebas tarif bermula 1 Januari lalu. Sementara itu, kedua-dua pihak juga membuka pasaran perkhidmatan dan pelaburan antara satu sama lain.
Menurut Kaunselor Perdagangan Filipina yang bertugas di China, Simeon L. Hernandez, tindakan membatalkan tarif perdagangan ini akan mempertingkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua pihak di samping mendinamikkan pengedaran logistik, modal dan pertukaran maklumat. Kata beliau: "China menjadi rakan dagang ketiga terbesar bagi Filipina pada tahun lepas, selepas A.S. dan Jepun. Di samping itu, sekarang China merupakan sumber import ketiga terbesar bagi Filipina dan juga destinasi pelaburan utama bagi perusahaan Filipina. Walaupun mengalami kesan negatif daripada krisis kewangan global dan kemerosotan ekonomi sejagat, namun hubungan ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara tetap berkembang pesat dan memperlihatkan potensi yang amat besar. Sekarang, beberapa jenis produk dari China seperti kereta, trak, jentera pertanian dan alat perubatan telah mendapat sambutan yang amat baik di pasaran Filipina."
Menurut Kaunselor Perdagangan itu, Filipina dan China mempunyai kelebihan yang tersendiri dalam sumber alam dan bahan mentah industri. Oleh itu, kerjasama industri antara kedua-dua negara dianggap mempunyai potensi yang amat besar, terutamanya dalam bidang pertanian, pelancongan, industri perlombongan dan pengeluaran pakaian. Di samping memperbaiki iklim pelaburan domestik, Filipina juga mengemukakan beberapa dasar keutamaan untuk menarik pengusaha China melabur di negara itu.
Sekarang, Malaysia merupakan rakan dagang yang terbesar bagi China di rantau Asia Tenggara. Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencatat kira-kira 52 bilion dolar Amerika pada tahun lepas. Angka ini menjadikan China sebagai rakan dagang yang paling besar bagi Malaysia. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, jumlah perdagangan dua hala terus mencatat peningkatan yang pesat, iaitu meningkat 67% berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu.
Kaunselor Minister daripada kedutaan besar Malaysia di China, See Chee Kong ketika ditemubual oleh wartawan berkata, Malaysia dan China perlu mengambil peluang daripada CAFTA untuk memperluas perdagangan dua hala, terutamanya mempelbagaikan jenis barangan yang diperdagangkan, dan merapatkan kerjasama dalam perdagangan perkhidmatan dan pelaburan. Kata beliau: "Perdagangan antara kedua-dua negara kini bertumpu kepada beberapa jenis barangan seperti minyak kelapa sawit dan barangan elektronik. Oleh itu, perdagangan dua hala ini boleh diperluaskan lagi supaya meliputi barangan yang lebih banyak jenisnya. Kini, ramai pengusaha China memandang Malaysia sebagai pangkalan pengeluaran yang baik, dan telah mengadakan pelaburan secara meluas di negara ini, terutamanya dalam bidang sumber tenaga dan industri pemprosesan. Saya amat opitimis terhadap prospek kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara."
Kaunselor Perdagangan Indonesia yang bertugas di China, Marolop Nainggolan pula berpendapat bahawa penubuhan CAFTA akan mempergiat kerjasama saling menguntungkan antara perusahaan Indonesia dengan China, dan membantu meningkatkan daya saing perusahaan kedua-dua negara di pasaran antarabangsa. Kata beliau: "Hubungan ekonomi dan perdagangan antara Indonesia dengan China mencapai perkembangan yang sangat baik jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum wujudnya kawasan perdagangan bebas. Kerjasama antara perusahaan membawa manfaat yang benar-benar kepada kedua-dua negara. Pertukaran dan kerjasama dalam bidang sains, teknologi dan proses pengeluaran menjadikan perusahaan lebih berdaya saing ketika berdepan dengan pasaran antarabangsa. Kini, perusahaan kedua-dua negara tetap mempunyai potensi kerjasama yang cukup besar, terutamanya dalam pegeluaran produk pertanian, makanan dan minuman."
Penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA) ini sebenarnya dilakukan secara berperingkat-peringkat memandangkan terdapat jurang perbezaan yang agak besar antara 10 negara anggota ASEAN dalam perkembangan ekonomi dan industri. Menurut perjanjian CAFTA, tarikh pembatalan tarif perdagangan antara China dengan 4 buah negara anggota ASEAN yang baru, iaitu Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam akan dilewatkan sehingga tahun 2015, bagi mengelakkan industri mereka dilanda tempias yang terlalu besar akibat penghapusan tarif. Menurut Kaunselor Minister dari Laos, Sengthongkham Khampanh yang bertanggungjawab atas urusan ekonomi dan perniagaan, kini Laos sedang membuat persiapan yang bersungguh-sungguh untuk berdepan dengan CAFTA dan berharap lebih banyak perusahaan China akan melabur di negara itu. Beliau berkata: "Kami akan berusaha menarik lebih banyak perusahaan China melabur atau menubuhkan kilang mereka di Laos dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Pengusaha China boleh mendirikan pangkalan pengeluaran mereka di Laos kerana di sana terdapat banyak bahan mentah yang mereka perlukan. Produk yang dikeluarkan oleh mereka di Laos boleh dibawa untuk dieksport ke pasaran antarabangsa. Setakat ini, sudah ada banyak perusahaan China melabur di Laos. Projek pelaburan mereka kebanyakannya dalam bidang jana kuasa hidroelektrik, pemprosesan hasil pertanian dan import-eksport. Walaupun Laos dan China masih belum merealisasikan perdagangan tanpa tarif pada masa ini, namun kami sudah melakukan usaha ke arah mempertingkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara."








