Persidangan Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-65 telah dirasmikan di ibu pejabatnya di New York petang semalam. Persidangan tersebut dipengerusikan oleh Presiden UNGA yang baru, iaitu bekas Presiden Switzerland, Joseph Deiss. Ia turut dihadiri oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, pegawai kanan lain pertubuhan itu serta wakil dari negara-negara anggotanya.
Ketika berucap merasmikan persidangan itu, Deiss menyatakan bahawa Perhimpunan Agung penggal ini akan memberikan fokus kepada usaha untuk mendorong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Milenium (MDG), menggalakkan pembangunan yang berterusan dan mempercepat proses pembaharuan dalam PBB. Beliau turut menyatakan harapannya supaya pihaknya tidak mengecewakan harapan orang ramai, dan dapat melakukan sesuatu yang benar-benar boleh membantu mereka yang sedang menghadapi masalah kemiskinan, peperangan, perubahan iklim dan bencana alam.
Joseph Deiss
Dalam sidang media selepas itu, Deiss pula menekankan bahawa langkah perlu diambil untuk memastikan tugas-tugas yang ditetapkan dalam MDG dilunaskan dengan sempurna. Selain itu, menurut beliau, usaha juga perlu dilakukan untuk menggalakkan pembangunan yang berterusan, serta menetapkan semula peranan pimpinan PBB dan Majlis Keselamatan dalam hal ehwal antarabangsa.
Ketika menyentuh tentang isu pembangunan yang berterusan, Deiss menegaskan bahawa untuk menangani cabaran-cabaran yang dibawa oleh masalah alam sekitar kepada manusia, seperti perubahan iklim dan ancaman kepupusan sekian banyak spesies haiwan dan tumbuhan, memang memerlukan usaha bersama masyarakat antarabangsa. Menurut beliau, dapatkah kesedaran masyarakat ditingkatkan untuk membentuk struktur ekonomi yang lebih mesra alam, menjadi faktor penting untuk menjayakan usaha tersebut.
Ketika bercakap tentang isu pembaharuan dalam PBB pula, Deiss berpendapat bahawa usaha pembaharuan terhadap Majlis Keselamatan PBB agak penting. Beliau berharap hasil daripada pembaharuan tersebut dapat mencapai kemajuan dengan secepat mungkin. Bagaimanapun, menurut beliau, kejayaannya sememangnya bergantung pada sejauh mana persepakatan yang akan dicapai antara negara-negara anggota PBB.
Ban Ki-moon berjabat tangan dengan Joseph Deiss.
Menurut agenda perhimpunan ini, sesi perbahasan umum bagi pelbagai negara untuk membentangkan dasar luar dan pendirian masing-masing dalam urusan antarabangsa, akan berlangsung secara berasingan pada 23 hingga 25 September dan 27 hingga 30 September ini. Setakat ini, pemimpin negara dan ketua kerajaan dari 139 buah negara, termasuk Perdana Menteri China, Wen Jiabao, sudah mengesahkan penyertaan mereka dalam sesi tersebut.
Sebelum sesi itu, pemimpin tersebut dikatakan akan menyertai Mesyuarat Kemuncak Mengenai MDG yang dipanggil oleh Ban Ki-moon terlebih dahulu. Kini, hanya tinggal lima tahun sahaja lagi sebelum tarikh akhir pelaksanaan matlamat tersebut. Oleh itu, mesyuarat kemuncak ini juga menarik perhatian umum negara-negara anggota PBB. Pada 13 September lalu, Ban Ki-moon sudah pun mengumumkan bahawa negara-negara yang terlibat sudah mencapai persepakatan mengenai Dokumen Hasil (Outcome Document) yang akan diluluskan tidak lama lagi itu. Menurut beliau, dokumen tersebut akan menyampaikan satu mesej kepada dunia, iaitu MDG dapat direalisasikan walaupun masih wujud beberapa kesukaran.