Cari:
Usahawan Wanita China dan ASEAN Bincangkan Kaedah Untuk Jayakan Pembangunan
2010-09-17 14:12:40 CRI Cetak

Forum Pemula Usahawan Wanita China-ASEAN ke-2 yang berlangsung selama sehari, diadakan dengan jayanya di bandar Liuzhou, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi China semalam. Forum yang bertema "kerjasama ke arah mewujudkan muafakat bestari, dan berganding bahu untuk membangun bersama-sama" itu, turut dihadiri oleh Presiden Persatuan China-ASEAN, Gu Xiulian, Naib Presiden Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan Negara Asing (CPAFFA), Feng Zuoku dan Presiden Persatuan Usahawan Wanita China, Zhu Rui serta lebih 350 orang tokoh usahawan wanita, pegawai kerajaan dan utusan diplomatik dari kedua-dua pihak.

Para peserta telah berbincang secara terbuka mengenai peluang dan cabaran yang dihadapi oleh Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA), kaedah untuk menghadapi krisis kewangan global serta usaha untuk meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama antara usahawan wanita China dan ASEAN. Hasil daripadanya, beberapa program kerjasama akhirnya berjaya ditandatangani.

Ketika berucap merasmikan forum tersebut, Gu Xiulian menyatakan bahawa dengan siapnya CAFTA, interaksi dan kerjasama antara China dengan negara-negara ASEAN dalam bidang ekonomi, kebudayaan, pendidikan, sukan dan kesihatan, sudah mencapai hasil yang amat memberangsangkan. Dalam pada itu, para usahawan wanita yang cemerlang dari kedua-dua pihak pula telah memberikan sumbangan yang besar untuk menjayakan projek kerjasama dan pembangunan yang berkenaan. Menurut beliau, dengan semakin sempurnanya kawasan perdagangan bebas itu nanti, interaksi dan kerjasama antara kalangan wanita kedua-dua pihak, dipercayai akan menjadi bertambah erat. Kata beliau:

"Sekarang, kaum wanita turut aktif melibatkan diri dalam pelbagai bidang. Pencapaian mereka pun semakin hari semakin cemerlang. Saya yakin, jika peranan mereka dapat dimainkan sepenuhnya, mereka pasti akan menjadi tenaga penting untuk membantu memajukan interaksi dan kerjasama antara China dengan negara-negara ASEAN, baik dalam bidang ekonomi dan perdagangan, mahupun dalam bidang kebudayaan dan sukan."

Ketika menyentuh tentang ciri-ciri usahawan wanita dari China dan ASEAN, Presiden Persatuan Persahabatan Thailand-China, Korn Dabbaransi menyatakan bahawa golongan tersebut benar-benar mampu dan bersedia untuk mengharungi dunia yang penuh cabaran ini pada bila-bila masa. Kini, usahawan wanita generasi baru sudah menjadi tenaga yang penting untuk menjana pertumbuhan ekonomi dunia. Menurut beliau, asalkan mereka sanggup berkecimpung dalam kerjaya sendiri, kejayaan pasti akan dicapai oleh mereka pada suatu hari nanti.

Sejak Forum Pemula Usahawan Wanita China-ASEAN yang pertama berjaya diadakan pada tahun 2008, ia kini sudah menjadi platform yang penting bagi usahawan wanita dari China dan ASEAN untuk berinteraksi dan menjalankan kerjasama. Dengan platform ini, kalangan wanita kedua-dua pihak diyakini pasti dapat bersama-sama mencipta masa depan yang lebih cerah. Berkaitan dengan hal ini, Konsul Jeneral Laos ke Nanning, Phonekham Inthaboualy menyatakan,

"Inilah kali pertama saya menyertai forum ini. Memang banyak faedah yang dapat saya peroleh daripada pengalaman begini. Pada pandangan saya, forum ini memainkan peranan yang cukup besar untuk memacu interaksi dan kerjasama antara China dengan negara-negara ASEAN, terutamanya di kalangan usahawan wanita kedua-dua pihak. Mereka yang berani berkecimpung dalam kerjaya sendiri ini, benar-benar memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan negara masing-masing."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China