Cari:
Wen Jiabao Seru Masyarakat Antarabangsa Berusaha Mencapai Matlamat Pembangunan Milenium PBB
2010-09-23 15:07:57 CRI Cetak

Perdana Menteri China, Wen Jiabao telah menerangkan pendirian dan pencapaian China untuk mencapai Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) PBB serta beberapa langkah berkenaan yang baru. Beliau juga menyeru masyarakat antarabangsa agar berusaha bersama untuk mencapai MDG PBB.

Wen Jiabao berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Sidang Peringkat Tinggi MDG PBB di New York semalam waktu tempatan.

Menurut beliau, dengan usaha bersama masyarakat antarabangsa, sejumlah besar orang miskin di dunia sudah bebas daripada kebuluran semenjak sidang kemuncak MDG PBB diadakan 10 tahun yang lalu. Namun, keadaan pelaksanaan MDG sebenarnya tidak seimbang di kawasan atau wilayah yang berlainan.

Kata beliau, kerajaan China akan terus meningkatkan dan mengubahsuai kerja membantu negara lain demi membuat sumbangan yang sewajarnya untuk merealisasikan MDG di seluruh dunia secepat mungkin. Menyentuh langkah-langkah terperinci, Wen Jiabao berkata,

"Saya kemukakan enam langkah berkenaan. Pertama, mendorong pembangunan sektor yang melibatkan kehidupan rakyat di negara-negara membangun; kedua, mengurangkan atau membatalkan hutang negara yang paling mundur; ketiga, meningkatkan kerjasama dengan negara-negara membangun dalam bidang kewangan; keempat, meluaskan hubungan perdagangan dengan negara-negara membangun; kelima, meningkatkan kerjasama dengan negara-negara membangun dalam bidang pertanian dan keenam, membantu negara-negara membangun mendidik tenaga manusia."

Wen Jiabao dalam ucapannya menyatakan China akan membatalkan pinjaman tanpa bunga kerajaan yang akan dibayar pada tahun 2010 daripada 50 buah negara miskin dan paling mundur di dunia. Selain itu, China akan terus memberikan pinjaman keutamaan kepada beberapa negara membangun dan meluaskan skala barang-barang eksport ke China yang bebas daripada tarif. Sementara itu, kerajaan China akan terus menggalakkan pelaburan syarikat dalam negeri kepada negara-negara membangun.

Tambah beliau, China akan menghulurkan bantuan wang sebanyak 200 juta dolar Amerikat lagi kepada Pakistan, sahabat negara jiran yang dilanda bencana banjir tahun ini. Sebelum ini, China telah memberikan bantuan sebanyak 320 juta yuan RMB kepada negara tersebut.

Wen Jiabao menyatakan lima tahun akan datang merupakan fasa penting untuk melaksanakan MDG. Menurut beliau, PBB perlu menjadikan usaha mendorong pencapaian MDG sebagai tugas utama. Manakala, masyarakat antarabangsa perlu mengutamakan bantuan terhadap Afrika supaya ia bebas daripada kemiskinan. Di samping itu, negara-negara membangun juga perlu terus berusaha menghapuskan kemiskinan melalui pembangunannya. Kata beliau, negara-negara maju perlu memikul tanggungjawab untuk membantu negara-negara membangun.

Wen Jiabao berkata, "Negara-negara maju perlu menunaikan janji mereka, iaitu meningkatkan bantuannya kepada 0.7% daripada pendapatan nasionalnya, memberikan bantuan modal yang berjangka masa panjang dan stabil kepada negara-negara membangun tanpa sebarang syarat."

Wen Jiabao akhirnya menyeru sekali lagi masyarakat antarabangsa supaya terus berusaha bersama untuk mencapai MDG PBB menurut jadual dan mendorong kemajuan manusia sejagat.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China