Cari:
Perbahasan Am Perhimpunan Agung PBB ke-65 Diadakan semalam
2010-09-24 15:22:26 CRI Cetak

Perbahasan am Perhimpunan Agung PBB ke-65 telah diadakan semalam. Pemimpin pelbagai negara dan kerajaan telah menyampaikan ucapan untuk menerangkan pendirian dan pandangan mereka tentang situasi dalam negeri masing-masing atau antarabangsa.

Tajuk utama perbahasan tahun ini ialah "menegaskan lagi peranan teras PBB dalam pentadbiran global". Pengerusi Perhimpunan Agung PBB kali ini, Joseph Deiss sebelum perbahasan tersebut menyatakan bahawa hanya PBBlah yang mempunyai begitu banyak pengalaman untuk mewakili kepentingan rakyat seluruh dunia dan menguruskan hal ehwal dunia. Namun, beliau juga memberikan ingatan bahawa PBB sedang menghadapi siatuasi diketepikan oleh beberapa kuasa politik. Menurut beliau, walaupun PBB dikritik kurang cekap dan kurang pengaruh yang berkesan, namun betapa pentingnya reaksi yang cepat dan sesuai diberikan ketika krisis kewangan dan ekonomi global berlaku, hanya dilaksanakan oleh PBB. Kata beliau, hanya PBB dan Perhimpunan Agung berkemampuan melakukan tindakan pengubahsuaian terhadap interaksi, perbincangan dan kerjasama antara entiti dan negara yang berlainan.

Tegas beliau, PBB perlu menjadi lebih berwibawa, terbuka dan toleran untuk memainkan peranan utama dalam hal ehwal antarabangsa.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon pula menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa perlu bersatu padu bersama-sama melalui PBB untuk mencapai matlamat raksasa yang dicita-cita oleh rakyat seluruh dunia. Menurut beliau, perubahan iklim, perlucutan senjata nuklear dan kesamarataan antara jantina merupakan beberapa isu penting yang dihadapi oleh dunia. Beliau juga menyeru supaya para peserta terus memberikan sokongan kepada PBB untuk menyelesaikan konflik dan situasi yang tegang di Somalia, Sudan, Semenanjung Korea dan kawasan Asia Barat. Selain itu, beliau juga berharap agar negara-negara anggota berusaha bersama dengan PBB untuk memberikan bantuan kemanusiaan ketika pihak-pihak tertentu menghadapi bencana alam yang dahsyat dan masalah pembangunan.

Pemimpin negara atau kerajaan dari lebih 30 buah negara telah menyampaikan ucapan pada hari pertama perbahasan itu diadakan. Perdana Menteri China, Wen Jiabao telah menyampaikan ucapan yang bertajuk "mengenali China yang sebenarnya". Menurut beliau, China masih berada pada fasa awal sosialis dan merupakan negara membangun. Inilah keadaan asas dan sebenar negara China. Ketika menyentuh tentang pembangunan China pada masa depan, Wen Jiabao menyatakan rakyat China akan terus mengekalkan dasar pembaharuan dan pintu terbuka serta pembangunan damai. Kata beliau, kedamaian dan pembangunan merupakan dua isu utama dunia ketika ini. China akan terus mengekalkan dasar pembangunan damai dan berusaha mendorong kemajuan dan kemakmuran bersama dunia. Tegas beliau, pembangunan China tidak akan menjejaskan kepentingan atau memberikan ancaman kepada sesiapa pun.

Di samping itu, Presiden A.S., Barack Obama pula menerangkan pendirian A.S. mengenai beberapa isu seperti kedamaian, perlucutan senjata, antikeganasan, hak asasi manusia dan pembangunan dalam ucapannya. Antaranya, kedamaian Asia Barat merupakan salah satu isu yang penting. Menurut beliau, walaupun rundingan langsung antara Israel dan Palestin sudah bermula baru-baru ini, namun ini bukanlah masalah yang senang diselesaikan. Oleh itu, beliau berharap kedua-dua pihak dapat mengatasi kesukaran demi mencapai kata sepakat pada akhirnya. Beliau juga menyeru pelbagai pihak yang terlibat supaya berusaha bersama-sama agar sebuah negara berdaulat yang baru, iaitu Palestin dapat diiktiraf menjadi anggota PBB secepat mungkin.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China