Pegawai rumah presiden Rusia mengumumkan pada 1 Oktober ini, Presiden Dmitry Medvedev akan melawat Kepulauan Kuril ketika beliau kembali selepas menghadiri Sidang Kemuncak APEC di Yokohama, Jepun pada bulan November ini. Menurut beliau, lawatan itu adalah langkah yang "sesuai". Tindakan tersebut terus amat menarik perhatian kerajaan dan media massa Jepun.
Presiden Dmitry Medvedev berancang untuk singgah di Timur Jauh dan melawat bahagian selatan Kepulauan Kuril dalam perjalanan pulang dari Shanghai ke Moskow pada 29 September yang lalu. Tetapi rancangan tersebut telah dibatalkan disebabkan keadaan cuaca. Menurut Dmitry Medvedev, beliau pasti akan melawat ke kepulauan itu pada masa yang terdekat.
Sebuah laman web warta berita di negeri Sakhalin Oblast yang mentadbir Kepulauan Kuril telah mengumumkan rancangan lawatan Presiden Dmitry Medvedev tersebut pada 27 September lalu. Seterusnya, media massa Jepun turut menyiarkan tentang hal tersebut. Menurut pandangan yang optimis dari beberapa pegawai kerajaan Jepun, lawatan tersebut akan menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara, dan Rusia juga tidak mendapat manfaat dari perkara tersebut. Oleh sebab itu, lawatan Presiden Dmitry Medvedev tersebut mungkin tidak akan jadi. Bagaimanapun, pandangan yang lain berbimbang bahawa lawatan tersebut akan menimbulkan celaan orang ramai terhadap dasar luar kerajaan Jepun.
Menteri Luar Jepun, Maehara Seiji ketika menemui Duta Besar Rusia ke Jepun, Mihail Mihailovich pada 29 September yang lalu telah memberi amaran kepada pihak Rusia. Menurut beliau, lawatan Presiden Dmitry Medvedev ke Kepulauan Kuril akan menjejaskan secara teruk hubungan antara kedua-dua negara. Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Sengoku Yoshito menyatakan, pihaknya telah menunjukkan pendiriannya tentang hal tersebut kepada kerajaan Rusia melalui pelbagai saluran. Kerajaan Jepun tidak mengetahui tujuan sebenar lawatan Presiden Dmitry Medvedev ke kepulauan tersebut pada masa ini. Perdana Menteri Jepun, Kan Naoto menyatakan, kemungkinan Dmitry Medvedev melawat pulau-pulau tersebut amat kecil. Pendirian Jepun tentang hal ehwal 4 buah pulau di bahagian utara tidak berubah.
Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Andrei Nesterenko menyatakan pada 1 Oktober yang lalu, lawatan Presiden Dmitry Medvedev ke Kepulauan Kuril tidak akan terhalang oleh tentangan pihak Jepun. Beliau berhak untuk memilih perjalanan dalam negara sendiri. Sebarang cadangan dan kritikan daripada negara-negara asing tentang hal tersebut adalah tidak sesuai dan tidak boleh diterima oleh Rusia.
Menurut media massa Jepun, langkah dasar luar kerajaannya tidak berkesan dan sikap Menteri Luarnya kurang tegas. Kerajaan Jepun tidak mempunyai kaedah untuk menghalangi lawatan Presiden Dmitry Medvedev tersebut.