Cari:
Guangzhou Membuat Persiapan Terakhir untuk Sukan Asia Ke-16
2010-10-07 15:40:56 CRI Cetak
Sukan Asia Ke-16 akan dirasmikan di Guangzhou, bandar raya di selatan China pada 12 November nanti. Kini, kerja-kerja persiapan terakhir sedang dilaksanakan dengan rapi.

Di Daedah Yuexiu, Guangzhou, wartawan CRI mendapati bahawa projek untuk memperindah persekitaran jalan dan bangunan di kawasan itu telah memasuki peringkat akhir. Naib Ketua Jabatan Pembinaan dan Pengairan Daerah Yuexiu, Chen Xiaoquan memberitahu wartawan:

"Projek pembaikpulihan kami meliputi 87 buah bangunan di Jalan Xiaobei, Jalan Fazheng dan Jalan Yuexiu Utara, panjangnya 2.4 kilomoter. Projek ini dijalankan dengan prinsip mengekalkan rupa bangunan yang asal."

Dalam tempoh berlangsungnya Sukan Asia Ke-16 nanti, lebih 14,000 atlet dan pegawai dari lebih 40 buah negara dan kawasan, lebih 7000 anggota media dan beratus ribu pelancong akan membanjiri Guangzhou. Kedatangan mereka merupakan ujian besar terhadap sistem pengangkutan tuan rumah.

Sebagai persiapan, enam laluan kereta api bawah tanah akan dibuka sebelum temasya sukan itu. Dengan adanya enam laluan tersebut, perkhidmatan kereta api bawah tanah di Guangzhou akan mencapai lebih 200 kilometer dan boleh menghubungkan lebih 80% venue pertandingan. Pegawai dari Suruhanjaya Pengangkutan Guangzhou, Zhang Zhixin berkata:

"Ketika Sukan Asia berlangsung, kami akan menyediakan perkhidmatan sementara dengan membuka beberapa laluan bas awam. Kami juga akan memanjangkan masa perkhidmatan hampir 120 laluan bas awam. Terdapat 1000 buah bas baru akan digunakan untuk memudahkan perjalanan para pengunjung".

Diketahui umum bahawa kepadatan penduduk dan kenderaan yang tinggi merupakan masalah yang dihadapi bersama oleh bandar raya seperti Guangzhou. Menurut statistik tahun 2009, terdapat 1.95 juta automobil dan 600 ribu motosikal di Guangzhou. Peningkatan jumlah kenderaan juga memburukkan pencemaran udara di Guangzhou.

Encik Li dari Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Guangzhou memberitahu wartawan bahawa sejak tahun 2005, kerajaan Guangzhou telah meminda peraturan dan menetapkan standard baru untuk mengawal kualiti minyak dan pelepasan kenderaan bagi mengurangkan pencemaran. Dalam usaha itu, peraturan untuk mengawal pelepasan bas awam telah menyumbang kepada pembaikpulihan persekitaran udara Guangzhou.

"Sejak tahun 2003, kami telah memulakan projek pengubahsuaian supaya bas awam dapat menggunakan tenaga bersih. Kini, lebih 90% bas awam di Guangzhou menggunakan tenaga bersih. Sebelum Sukan Asia bermula, projek ini akan disiapkan dengan mengubahsuai lagi 200 buah bas awam. Dengan ini, pencemaran udara yang berpunca daripada pelepasan bas awam akan diatasi."

Encik Li juga menegaskan bahawa pihaknya akan meneruskan usaha mereka untuk memelihara alam sekitar Guangzhou, tidak kira tempoh berlangsungnya Sukan Asia ataupun pasca temasya sukan itu.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China