Cari:
CAEXPO Ke-7 Tingkatkan Kerjasama Antara China dengan ASEAN
2010-10-20 14:28:43 CRI Cetak

Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-7 dan Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan China-ASEAN ke-7 telah dirasmikan di Nanning, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi China semalam, 19 Oktober. Pegawai kerajaan, usahawan, pakar dan sarjana dari China dan negara-negara anggota ASEAN telah menyertai ekspo kali ini. China menyatakan bahawa pihaknya akan berusaha untuk meningkatkan kerjasama dengan pelbagai negara anggota ASEAN dan menjayakan ekspo tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China, Jia Qinglin telah merasmikan ekspo kali ini. Ekspo yang berlangsung selama 5 hari ini bertema "kawasan perdagangan bebas dengan peluang baru". Ekspo ini menyediakan 4 ribu buah gerai pameran yang dibahagikan kepada 5 sektor, iaitu perdagangan komoditi, kerjasama pelaburan, perdagangan perkhidmatan, teknologi canggih dan "bandar yang menarik". Selain itu, rombongan perdagangan dari Perancis, Jerman, Kanada, Australia dan Jepun juga menyertai ekspo kali ini untuk membeli produk-produk yang berkaitan.

Pengerusi Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, Ma Piao ketika berucap dalam upacara perasmian itu berkata, "Wujudnya Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) memberikan peluang yang baru kepada perkembangan perdagangan China dan ASEAN, malah Asia dan dunia. Sebagai penganjur ekspo ini, pihak kami akan berusaha untuk menjadikan ekspo ini sebagai wadah untuk meningkatkan hubungan perdagangan, pelaburan, kebudayaan, pendidikan serta pertukaran maklumat antara China dengan ASEAN agar dapat berkhidmat untuk CAFTA serta memberi faedah kepada syarikat dan rakyat di rantau ini."

Naib Menteri Perdagangan China yang juga Wakil Perunding Perdagangan Antarabangsa kementerian tersebut, Gao Hucheng berkata, wujudnya CAFTA melambangkan hubungan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua pihak telah meningkat ke tahap yang baru. Beliau berkata, "Ekspo kali ini menunjukkan hasil pembangunan CAFTA dan memberikan lebih banyak faedah kepada syarikat dan rakyat kedua-dua pihak."

Pada masa yang lalu, 35 orang pemimpin negara, lebih daripada 1100 orang pegawai peringkat menteri, 210 ribu orang usahawan dan lebih daripada 100 persatuan perdagangan telah menyertai ekspo ini, yang telah diadakan sebanyak 6 kali. Jumlah perdagangan yang dihasilkan mencecah 8.1 bilion dolar Amerika dan jumlah kontrak pelaburan antarabangsa melebihi 35 bilion dolar Amerika

Sebagai negara yang diberikan penghargaan dalam ekspo kali ini, Indonesia akan mengadakan aktiviti-aktiviti yang sungguh menarik untuk meningkatkan hubungan kerjasama ekonomi dan perdagangannya dengan negara-negara yang berkaitan. Naib Presiden Indonesia, Boediono yang mengetuai delegasi untuk menyertai ekspo kali ini berkata, "Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN memainkan peranan yang penting untuk meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua pihak. Selain itu, wujudnya kawasan perdagangan tersebut juga menandakan bahawa hubungan rakan kerjasama strategik China-ASEAN dan integrasi ekonomi serantau telah memasuki tahap yang baru."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China