Cari:
"Kepentingan Bersama" Merupakan Asas bagi Kerjasama Strategik China-ASEAN
2010-10-21 12:02:37 CRI Cetak

Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-7 dan Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan China-ASEAN sedang diadakan di Nanning, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi China. Ekspo tersebut telah menarik perhatian syarikat dari dalam dan luar negara. Jumlah gerai pameran mencecah 5,360 buah, lebih 34% daripada yang dirancangkan pada asalnya. 10 buah negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN telah menyediakan 1,345 buah gerai pameran dan jumlah ini meningkat 15.2% berbanding dengan ekspo yang sebelumnya. Pemimpin negara dan tokoh pelbagai lapisan masyarakat dari China dan pelbagai negara anggota ASEAN menyatakan bahawa kedua-dua pihak perlu mencari persamaan dan mengetepikan perbezaan, "kepentingan bersama" merupakan asas bagi meningkatkan kerjasama strategik China-ASEAN.

Naib Menteri Perdagangan China merangkap Wakil Perunding Perdagangan Antarabangsa, Gao Hucheng ketika berucap dalam upacara perasmian ekspo kali ini berkata, China dan ASEAN telah menjayakan CAEXPO sebanyak 6 kali. Ekspo tersebut merupakan wadah untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan, serta memberi manfaat kepada syarikat dan rakyat kedua-dua pihak.

Naib Presiden Indonesia, Boediono juga menyatakan, China telah menyediakan banyak peluang kepada ASEAN. Sementara itu, kemakmuran dan kestabilan di ASEAN juga menguntungkan pihak China. Menurut beliau, krisis kewangan antarabangsa telah membantu meningkatkan hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak ini.

Kumpulan Elektrik Huandian China telah membina beberapa projek stesen janakuasa elektrik di Indonesia. Naib pengurus besar kumpulan itu, Deng Jianling berkata, pihaknya mempunyai rakan kerjasama yang amat baik di negara tersebut. Pihak Indonesia telah menyediakan banyak maklumat yang penting kepada syarikatnya untuk menjayakan pembinaan projek-projek tersebut.

Naib Presiden Eksekutif Kumpulan Elektrik Shanghai, Zhou Zhizhu berkata, 5 projek syarikatnya di Indonesia beroperasi dengan baik pada masa ini. Kerajaan tempatan dan syarikat di negara tersebut menyediakan sokongan yang amat besar kepada syarikatnya.

Menurut pakar-pakar yang berkaitan, perdagangan yang saling melengkapi antara China dengan ASEAN dapat memakmurkan pasaran dalam negeri kedua-dua pihak. Kos pengeluaran besi waja di negara-negara ASEAN amat tinggi dan pengeluarannya tidak cukup. Keadaan ini memberikan peluang kepada pengeksport besi waja China. Sementara itu, China juga merupakan pasaran pengguna yang besar bagi petroleum, bahan mentah plastik, getah dan arang batu yang dihasilkan oleh negara-negara ASEAN.

Pakar dari Akademi Sains Sosial China, Zhang Yunling berkata, hubungan antara China dengan ASEAN bukan hanya terbatas dalam bidang ekonomi sahaja malah juga melibatkan pelbagai bidang yang lain. Kemakmuran di China dan di ASEAN adalah saling menguntungkan kepada kedua-dua pihak.

Ketua Pengarah Institut Pengajian China Akademi Sains Sosial Vietnam, Do Tien Sam berkata, ASEAN dan China perlu meningkatkan aktiviti pertukaran, kerjasama dan hubungan persahabatan serta menjalinkan hubungan yang stabil bagi jangka masa panjang.

Ahli penyelidik Institut Asia Timur Universiti Nasional Singapura, Dr. Yang Mu pula berkata, ASEAN dan China telah mendapat manfaat daripada kerjasama antara satu sama lain. Jadi, kedua-dua pihak perlu berusaha menghapuskan percanggahan pendapat, mencari persamaan dan mengetepikan perbezaan demi menjayakan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China