Cari:
Ekspo China-ASEAN Ke-7 Ditutup
2010-10-25 16:42:48 Agensi Berita Xinhua China Cetak

Ekspo China-ASEAN Ke-7 dan Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan China-ASEAN selama enam hari telah ditutup di Nanning, Guangxi China semalam. Ekspo kali ini bertema "Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) dan peluang baru".

Dalam tempoh berlangsungnya Ekspo China-ASEAN kali ini, 10 forum peringkat tinggi telah diadakan, yang meliputi bidang sumber tenaga, pertanian, kewangan, undang-undang, elektrik, pembasmian kemiskinan, perubatan dan pengangkutan. Sebagai ekspo pertama selepas CAFTA siap dibina, Ekspo China-ASEAN Ke-7 ini dianggap sebagai "ujian awal" kepada keberkesanan CAFTA.

CAFTA yang beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari tahun ini dengan penduduk berjumlah 1.9 bilion telah membuka lembaran baru bagi kerjasama China-ASEAN. Dalam tempoh dari bulan Januari hingga Ogos lalu, jumlah perdagangan China-ASEAN telah mencapai 185.38 bilion dolar Amerika, meningkat 47.2% berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas. Kini, ASEAN telah menjadi pasaran import ketiga terbesar dan pasaran eskport keempat terbesar bagi China. Kerjasama yang rapat antara kedua-dua pihak telah menjadi pemangkin kepada ekonomi rantau Asia Tenggara.

Sementara itu, jumlah perdagangan Ekspo China-ASEAN Ke-7 mencipta satu lagi sejarah. Setakat pukul empat petang semalam, perdagangan ekspo kali ini telah mencapai jumlah 1.712 bilion dolar Amerika, meningkat 3.5% berbanding dengan tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pameran Antarabangsa, Jabatan Perdagangan dan Industri Filipina, Lourdes D. Mediran berkata, "Kami telah menyedari akan peri pentingnya memanfaatkan dasar keutamaan CAFTA. Dengan pelaksanaannya, situasi yang saling menguntungkan pasti akan tercapai."

Melihat peluang yang timbul berikutan pelaksanaan CAFTA ini, 6 buah negara ASEAN, iaitu Malaysia, Indonesia, Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam telah membina dewan pameran sendiri dalam ekspo kali ini.

Encik Nore dari Brunei Darussalam memiliki sebuah syarikat barangan halal. Beliau telah membuka beberapa buah kilang di China. Tujuan beliau untuk menyertai ekspo China-ASEAN ini adalah untuk mencari rakan niaga di China. Encik Nore berkata, "Pasaran China berpotensi besar. Jika boleh mendapat rakan niaga di China, produk syarikat saya bukan sahaja lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa, malah menyediakan asas untuk kami menembusi pasaran domestik China."

Ketua Bahagian Kerjasama Antarabangsa Suruhanjaya Promosi Pelaburan Thailand, Vasana Mututanont pula berkata, "Peningkatan kerjasama perdagangan dengan China telah mempercepat pemulihan ekonomi Thailand."

Dalam masa suku tahun pertama tahun ini, jumlah import Thailand dari China ialah 35.65 bilion dolar Amerika. Jumlah eksport negara itu ke China pula mencapai 34.338 bilion dolar Amerika. China telah menjadi pasaran eksport terbesar bagi Thailand selepas mengatasi Amerika Syarikat dan ASEAN.

Ketua Setiausaha Sekretariat China Majlis Perniagaan China-ASEAN, Encik Xu Ningning menyatakan bahawa walaupun dilanda krisis kewangan global, perdagangan kebanyakan negara ASEAN dengan China tetap mengekalkan pertumbuhan. Ini memperlihatkan potensi kerjasama yang besar antara China dan ASEAN.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China