Perdana Menteri Wen Jiabao dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur yang akan diadakan di Hanoi, Vietnam esok. Ini dianggap sebagai satu usaha diplomatik yang penting yang dilaksanakan oleh pemimpin utama negara China memandangkan timbulnya situasi baru di rantau Asia Timur baru-baru ini. Lawatan Wen Jiabao ke Vietnam kali ini dipercayai akan memperkukuh kerjasama antara China dan ASEAN.
ASEAN merupakan jiran dan rakan dialog yang penting bagi China di rantau Asia Timur. Sejak tahun 2000, Perdana Menteri China tetap menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dengan rakan dialognya setiap tahun. Ini merupakan kali ketujuh Wen Jiabao menghadiri sidang kemuncak tersebut sejak beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.
Pertukaran lawatan peringkat tinggi yang kerap itu telah mempererat hubungan China-ASEAN dalam pelbagai bidang dalam masa 10 tahun yang lalu. Hasilnya, Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN iaitu kawasan perdagangan bebas yang terbesar di dunia telah siap dibina pada 1 Januari tahun ini.
Pakar dasar diplomatik China yang juga Timbalan Presiden Universiti Hal Ehwal Luar China, Profesor Dr. Qin Yaqing menyatakan bahawa kerjasama China-ASEAN telah membawa keamanan, peluang dan pembangunan kepada negara-negara di Asia Timur.
"Tidak boleh dinafikan, kehadiran China dalam kerjasama ASEAN telah membawa keamanan dan kestabilan ke rantau ini. Jika dilihat pendapat arus perdana dari negara-negara ASEAN, peluang yang timbul berikutan pembangunan China dianggap lebih besar daripada cabarannya. Dalam situasi ekonomi dunia yang lembap beberapa tahun yang lalu, mengapakah ekonomi Asia Timur terus giat? Mengapakah trend pertumbuhan ekonomi Asia Timur paling hebat? Mengapakah Asia Timur boleh pulih daripada krisis kewangan global lebih awal? Pembangunan ekonomi China memainkan peranan yang penting dalam penjanaan ekonomi rantau ini."
Profesor Qin Yaqing menyatakan bahawa lawatan Wen Jiabao ke Vietnam kali ini akan mendorong kerjasama antara China dan ASEAN untuk mencapai hasil yang lebih besar. Antara dokumen-dokumen yang akan ditandatangani, termasuk Pelan Tindakan Lima Tahun China-ASEAN Kedua.
Profesor Qin Yaqing juga berkata, sejak awal tahun ini, situasi di rantau Asia Timur menjadi semakin rumit akibat campur tangan negara-negara besar di luar rantau ini serta perselisihan sempadan wilayah. Masalah-masalah tersebut telah mengakibatkan keadaan di sekitar negara China lebih berisiko dan tidak menentu.
"Lawatan Wen Jiabao ke Vietnam kali ini amat besar maknanya. Pertukaran pendapat beliau dengan pemimpin-pemimpin negara ASEAN akan membantu meredakan ketegangan situasi di kawasan tertentu. Kehadiran Wen Jiabao ke Sidang Kemuncak Asia Timur kali ini juga memperlihatkan keikhlasan China yang ingin bekerjasama serta sifat terbuka dan bertolenrasinya."
Tentang masalah tuntutan bertindih Pulau Diaoyu yang akan menjadi isu hangat dalam pertemuan pemimpin China, Jepun dan Republik Korea di Hanoi nanti, Profesor Qin Yaqing berpendapat bahawa China mengamalkan prinsip "meneroka bersama dengan mengetepikan perselisihan" dalam menangani isu tersebut. Jika sesiapa ingin mencabar prinsip tersebut, China tidak akan bertolak ansur walau dalam apa jua keadaan pun.