Sidang Kemuncak ASEAN ke-17 ini yang bertema "Ke Arah Pembentukan Komuniti ASEAN: dari Wawasan ke Tindakan", dikatakan akan memberikan fokus kepada usaha untuk mempercepat pembinaan Komuniti ASEAN serta menggalakkan kerjasama yang menyeluruh antara ASEAN dengan rakan-rakan dialognya. Selain itu, langkah untuk memperkukuh peranan utama ASEAN dalam kerangka pembangunan serantau, serta menggalakkan kerjasama dalam menghadapi cabaran global, juga akan menjadi fokus perbincangan pelbagai pihak yang hadir.
Menurut Piagam ASEAN yang berkuatkuasa pada bulan Disember tahun 2008, Komuniti ASEAN, yang terdiri daripada Komuniti Ekonomi, Komuniti Keselamatan dan Komuniti Sosiobudaya ini, akan ditubuhkan menjelang tahun 2015. Bagaimanapun, disebabkan tahap pembangunan antara negara-negara anggota, baik dari segi sosioekonomi, mahupun dari segi politik, masih tidak seimbang, ditambah pula dengan struktur politik dan situasi ekonomi antarabangsa yang masih tidak menentu, usaha untuk mencapai matlamat tersebut dalam masa yang begitu singkat itu, kini masih menghadapi banyak kesukaran. Oleh yang demikian, "pelaksanaan" dan "pragmatik" telah menjadi dua perkataan yang paling kerap didengar pada siri mesyuarat ASEAN tahun ini.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-16 yang juga diadakan di Vietnam pada bulan April lalu, pemimpin negara-negara ASEAN sepakat untuk menggalakkan pelaksanaan sepenuhnya pelbagai perjanjian yang sudah dipersetujui, serta Piagam ASEAN. Pada sidang kemuncak ke-17 ini, mereka akan terus membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mempercepat pelaksanaan pelan bagi proses integrasi ASEAN, yang menjurus kepada matlamat untuk mewujudkan Komuniti ASEAN mengikut jadual.
Pada Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-43 yang diadakan pada bulan Julai lalu pula, para peserta telah mencapai beberapa persepakatan tentang usaha untuk mempercepat pembinaan Komuniti ASEAN ini, memperhebat kemampuan rantau ini dalam menghadapi cabaran global, serta mempererat hubungan antara ASEAN dengan negara-negara yang lain. Dalam sidang kemuncak ini, pemimpin-pemimpin ASEAN akan terus berusaha untuk mempererat kerjasama dengan rakan-rakan kerjasama mereka, di samping memperbaiki pelbagai mekanisme kerjasama untuk memperkukuh peranan utama ASEAN dalam kerjasama di Asia Timur. Mereka dikatakan berhasrat untuk meningkatkan lagi dialog dan kerjasama dengan rakan-rakan kerjasama tersebut dalam usaha untuk menangani cabaran global serta dalam bidang keselamatan.
Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan berpendapat bahawa, dalam situasi antarabangsa sekarang ini, ASEAN sepatutnya memainkan peranan sebagai sebuah pertubuhan yang bertanggungjawab, untuk memastikan pembangunan ekonominya yang kukuh dan berterusan. Dalam pada itu, menurut beliau, mekanisme kerjasama yang sedia ada bagi ASEAN ini boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh Asia Timur untuk menjayakan rancangan kerjasama mereka.