Cari:
Wen Jiabao Bertolak ke Hanoi untuk Hadiri Sidang Kemuncak Asia Timur
2010-10-28 16:31:32 CRI Cetak

Perdana Menteri Wen Jiabao bertolak ke Hanoi, Vietnam untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan sidang kemuncak berkaitan yang bermula hari ini. Ini dianggap sebagai satu usaha diplomatik yang penting yang dilaksanakan oleh pemimpin China untuk memperkukuh hubungan dengan negara-negara jirannya.

Sejak awal tahun ini, situasi antarabangsa dan rantau Asia Timur terus mengalami perubahan yang besar lantaran dipengaruhi kesan krisis kewangan antarabangsa. Negara-negara di Asia Timur yang lebih awal pulih ekonominya menyusun semula struktur ekonomi masing-masing untuk mencapai pembangunan yang berterusan.

Dengan latar belakang ini, kaedah untuk menghadapi cabaran pascakrisis kewangan akan menjadi agenda utama dalam Sidang Kemuncak Asia Timur kali ini.

Amerika Syarikat dan Rusia dilaporkan akan diumumkan menjadi rakan baru EAS. Nampaknya, A.S. sudah mencapai cita-citanya untuk mengukuh pengaruhnya di Asia Timur.

Selain menghadiri EAS, Wen Jiabao juga akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN+1, iaitu ASEAN dan China, Sidang Kemuncak ASEAN+3, iaitu ASEAN dan China, Jepun dan Republik Korea serta mesyuarat pemimpin China, Jepun dan Republik Korea.

Sidang Kemuncak ASEAN+China merupakan asas dan teras kerjasama antara China dengan ASEAN. Mekanisme dialog tersebut beroperasi bermula dari tahun 1991. Kini, berbanding dengan rakan-rakan dialog ASEAN yang lain, kerjasama China dengan ASEAN dianggap sebagai paling dinamik dan berhasil. Hasilnya, Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN telah siap dibina pada 1 Januari tahun ini.

Sidang Kemuncak ASEAN+3 juga merupakan rangka kerja penting dan tonggak kepada penyertaan China dalam pembangunan Asia Timur. Sejak tahun 1997, pemimpin negara China telah menghadiri setiap sidang kemuncak 10+3 ini.

Sidang Kemuncak Asia Timur mengutamakan kerjasama dalam bidang sumber tenaga, kewangan, pendidikan, wabak selesema burung dan penanganan bencana.

Duta Besar China ke ASEAN, Puan Tong Xiaoling ketika diwawancara menyatakan bahawa dalam siri mesyuarat tersebut, Wen Jiabao akan menghuraikan pendirian China dan mengemukakan cadangan untuk memperkukuh kerjasama China dengan ASEAN, kerjasama antara rantau serta usaha untuk mencapai pembangunan yang berterusan di Asia.

Pihak China berharap Pelan Tindakan Perisytiharan Bersama Hubungan Rakan Strategik China-ASEAN Ke Arah Keamanan dan Kemakmuran 2011-2015 dapat diluluskan dalam Sidang Kemuncak ASEAN+China kali ini. Pelan tindakan tersebut akan menjadi panduan kepada kerjasama kedua-dua pihak dalam jangka masa lima tahun akan datang.

Laman sesawang Pusat China-ASEAN juga dilaporkan akan dilancarkan dalam tempoh berlangsungnya sidang kemuncak tersebut.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China