Pemimpin negara-negara ASEAN juga memperakukan kenyataan tentang pembangunan sumber manusia dan keupayaan untuk menggalakkan pemulihan ekonomi dan pembangunan yang berterusan, serta mengeluarkan Deklarasi Hanoi yang bertujuan untuk meningkatkan jaminan kebajikan bagi golongan wanita dan kanak-kanak di rantau ini.
Pada sidang kemuncak itu, pemimpin-pemimpin ASEAN telah berbincang secara terbuka mengenai usaha untuk memperkukuh kesalinghubungan dalam ASEAN, serta mempererat hubungan antara ASEAN dengan rakan-rakan dialognya. Mereka sepakat untuk terus mempercepat pembinaan Komuniti ASEAN, menggalakkan pelaksanaan sepenuhnya Piagam ASEAN, mempererat hubungan antara ASEAN dengan negara-negara yang lain, serta memperkukuh peranan utama ASEAN dalam kerangka pembangunan serantau. Mereka juga bersetuju untuk mempererat kerjasama antara satu sama lain untuk memacu pemulihan ekonomi dan pembangunan yang berterusan selepas krisis kewangan global ini.
Selain itu, para pemimpin yang hadir juga memutuskan untuk menubuhkan Majlis Penyelaras Kesalinghubungan ASEAN, untuk menyelaras dan mengawal selia pelaksanaan Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN ini. Mereka juga mengalu-alukan usaha yang dilakukan oleh para Menteri Kewangan selama ini untuk menubuhkan Tabung Infrastruktur ASEAN (AIF). Keputusan tersebut dikatakan bukan sahaja membantu untuk memperkukuh kesalinghubungan di rantau ini, malah juga membuka laluan kepada rantau Asia Timur untuk mewujudkan rangkaian perhubungan secara berperingkat-peringkat.
Menurut Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan, Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN yang merangkumi lebih daripada 700 buah projek dan rancangan ini, melibatkan pelaburan yang berjumlah kira-kira 38 juta dolar Amerika. Beliau berharap ASEAN serta rakan-rakan dialognya dapat melibatkan diri dalam pelan induk ini dengan aktif melalui rancangan pelaburan dalam pelbagai bidang, untuk menyumbang kepada kesalinghubungan yang menyeluruh antara negara-negara ASEAN serta antara ASEAN dengan rakan-rakan dialognya.
Dalam aspek hubungannya dengan luar pula, para pemimpin sepakat bahawa, ASEAN sepatutnya terus mempertingkat hubungan kerjasama dengan negara-negara rakan dialognya, serta menggalakkan negara-negara tersebut untuk melibatkan diri dalam usaha menangani isu-isu serantau, di samping menetapkan hala tuju yang baru bagi kerjasama yang lebih erat dengan mereka pada masa yang akan datang.
Sebagai mesyuarat antara pemimpin ASEAN yang terakhir diadakan pada tahun ini, sidang kemuncak ini juga memberikan fokus kepada usaha untuk memperbaiki pelbagai mekanisme kerjasama, serta memperkukuh peranan utama ASEAN dalam kerjasama di rantau Asia Timur.
Para penganalisis berpendapat bahawa, mekanisme kerjasama yang dibentuk dengan inisiatif ASEAN ini, termasuklah kerjasama antara ASEAN dengan China (10+1), kerjasama antara ASEAN dengan China, Jepun dan Republik Korea (10+3), Forum Serantau ASEAN, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) serta Sidang Menteri Pertahanan ASEAN yang Diperluas (ADMM+) pertama yang baru ditutup pada 12 Oktober lalu itu, benar-benar membantu untuk menggalakkan pembentukan kerangka pembangunan yang baru di rantau ini.