Cari:
China Berusaha Galakkan Kerjasama dengan ASEAN
2010-10-30 15:31:16 CRI Cetak

Pada Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-13 yang diadakan di Hanoi, Vietnam petang semalam, pemimpin dari China dan ASEAN telah mengeluarkan kenyataan bersama tentang pembangunan yang berterusan, serta Pelan Tindakan Lima Tahun ke-2 tentang Kerjasama China-ASEAN. Dengan latar belakang struktur di rantau Asia Timur yang sedang mengalami perubahan, hasil tersebut dikatakan menyampaikan satu mesej yang jelas kepada dunia, iaitu China bersedia untuk memperkukuh kerjasama yang pragmatik dengan ASEAN.

Pakar dari Universiti Hal Ehwal Luar China, Profesor Su Hao, ketika diwawancara oleh wartawan CRI hari ini, menyatakan bahawa kepentingan bersama antara China dengan ASEAN lebih banyak berbanding perselisihan. Beliau yakin bahawa perkembangan hubungan persahabatan antara China dengan ASEAN mempunyai prospek yang cerah dengan kerjasama yang erat antara kedua-dua pihak.

Sebelum ini, ramai pakar yang menyatakan bahawa, isu tentang kesan penglibatan negara-negara besar dari luar rantau ini dalam struktur ekonomi dan politik serantau, serta pendirian China dalam isu tersebut akan menjadi fokus perbincangan Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-13 ini.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan dalam sidang tersebut, China sekali lagi menekankan pendiriannya, iaitu menyokong sepenuhnya usaha untuk mewujudkan Komuniti ASEAN, yang terdiri daripada Komuniti Ekonomi, Komuniti Keselamatan dan Komuniti Sosiobudaya itu, pada tahun 2015. Profesor Su Hao berpendapat bahawa pendirian yang ditunjukkan oleh kerajaan China itu, sebenarnya juga merupakan sokongan yang padu kepada ASEAN untuk memperkukuh integrasi mereka. Kata beliau:

"Kerjasama dan integrasi antara negara-negara ASEAN memang amat penting untuk memperkukuh peranan utama pertubuhan itu dalam kerjasama di rantau Asia Timur. China menyokong sepenuhnya integrasi ASEAN, kerana ia bukan sahaja membantu untuk meningkatkan tahap integrasi di seluruh rantau Asia Timur, malah juga dapat menggalakkan kerjasama yang menyeluruh antara China dengan negara-negara yang berkenaan."

Ekonomi dan perdagangan merupakan bidang kerjasama yang paling utama antara China dengan ASEAN. Pada sidang kemuncak ini, Perdana Menteri China, Wen Jiabao telah mengemukakan matlamat supaya jumlah perdagangan antara kedua-dua pihak China-ASEAN mencecah 500 bilion dolar Amerika menjelang tahun 2015. Dalam pada itu, China juga bersedia untuk menubuhkan kawasan kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan setiap anggota ASEAN dalam masa lima tahun ini. Profesor Su Hao berpendapat bahawa matlamat tersebut amat berwawasan. Kata beliau:

"Tahap pembangunan bagi sepuluh buah negara anggota ASEAN, adalah tidak sama. Sementara itu, struktur ekonomi China juga melibatkan pelbagai bentuk. China memang lebih mudah untuk mencari bidang kerjasama dengan setiap anggota ASEAN. Inilah satu kelebihan yang tidak dimiliki oleh negara-negara besar yang lain di dunia."

Tidak boleh dinafikan bahawa, sekarang, masih wujud perbezaan pendapat antara China dengan beberapa buah negara ASEAN, seperti dalam isu Laut China Selatan. Berkaitan dengan hal ini, Profesor Su Hao menyatakan bahawa kini, China dan ASEAN sudah mencapai persepakatan dalam isu tersebut, iaitu "meneroka bersama dengan mengetepikan perselisihan". Kedua-dua pihak ini juga telah memeterai Perisytiharan Tindakan Pelbagai Pihak tentang Laut China Selatan. Beliau yakin bahawa masalah tersebut tidak akan menjejaskan perkembangan hubungan antara China dengan ASEAN. Kata beliau:

"China bersedia mengadakan rundingan dua hala tentang isu Laut China Selatan dengan ASEAN, untuk meningkatkan rasa saling percaya antara satu sama lain. China juga menyokong cadangan yang dikemukakan oleh ASEAN untuk membentuk tata kelakuan yang rasmi di Laut China Selatan. Kita perlu berkeyakinan penuh bahawa isu ini tidak akan membantut perkembangan hubungan antara China dengan ASEAN. Hubungan antara kedua-dua pihak ini akan terus berkembang ke arah yang lebih positif."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China