Cari:
Lawatan Wen Jiabao ke Vietnam Amat Berhasil
2010-10-31 14:38:14 CRI Cetak

Perdana Menteri, Wen Jiabao selamat pulang ke Shanghai semalam selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur dan sidang kemuncak berkaitan di Hanoi, Vietnam yang bermula pada Khamis lalu. Menteri Luar, Yang Jiechi yang mengiringi Wen Jiabao dalam lawatannya ke Vietnam menyatakan bahawa lawatan mereka telah berjaya mencapai tujuan untuk memperkukuh hubungan persahabatan dengan negara-negara jiran, mempererat kerjasama serantau serta mendorong pembangunan bersama.

Dalam lawatan Wen Jiabao ke Vietnam kali ini, beliau telah menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN + 1, iaitu ASEAN dan China, Sidang Kemuncak ASEAN + 3, iaitu ASEAN dengan China, Jepun dan Republik Korea, Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-5 serta Mesyuarat antara Pemimpin China, Jepun dan Republik Korea.

Wen Jiabao mempunyai jadual yang padat dalam lawatan selama 48 jam itu, termasuk menghadiri lebih 20 aktiviti dengan memberi beberapa ucapan yang penting yang mengemukakan banyak cadangan serta mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin negara peserta siri sidang tersebut. Kerja keras beliau untuk menjelaskan dasar luar dan kaedah pembangunan China disanjung tinggi oleh pelbagai pihak.

Dalam perbincangan dengan pemimpin-pemimpin dari ASEAN, Wen Jiabao telah menunjukkan hala tuju dan sasaran kerjasama China-ASEAN iaitu mengekalkan kerjasama persahabatan kedua-dua pihak terus berada di barisan depan dalam kerjasama Asia Timur.

Selain itu, beliau juga mengemukakan cadangan pelaksanaan untuk menjayakan Pelan Tindakan Kerjasama China-ASEAN Lima Tahun Kedua.

Tentang isu-isu tuntutan bertindih di perairan Laut China Selatan, Wen Jiabao menekankan bahawa ia merupakan isu dua hala antara negara-negara yang terlibat dan perlu diselesaikan melalui dialog dan rundingan. Beliau juga menyeru pihak-pihak yang berkenaan supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan "Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkaitan di Laut China Selatan".

Para pemimpin ASEAN memberikan sokongan penuh terhadap cadangan yang dikemukakan oleh pihak China dalam sidang kemuncak tersebut. Mereka juga menyatakan kesediaan untuk bersama-sama pihak China meningkatkan kerjasama antara negara-negara di pesisir Laut China Selatan dan memberi sumbangan yang baru bagi mendorong keamanan, kerjasama dan pembangunan di rantau Asia Timur.

Mengenai isu kerjasama di Asia Timur, Wen Jiabao menegaskan bahawa proses integrasi Asia Timur perlu menghormati dan mengambil kira keprihatinan dan keadaan sebenar pelbagai pihak dengan mengutamakan peranan dominan ASEAN.

Tentang kerangka kerjasama antara ASEAN dengan China, Jepun dan Republik Korea, Wen Jiabao menggesa pihak-pihak yang terbabit supaya mempercepat pembinaan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Timur, di samping mempererat kerjasama dalam bidang kewangan dan keselamatan makanan.

Dalam pertemuannya dengan pemimpin Jepun dan Republik Korea, Wen Jiabao telah melahirkan hasrat China untuk menjayakan perjanjian perdagangan bebas China-Jepun-Republik Korea dan memastikan perundingan berkaitan diselesaikan menurut jadual.

Dalam Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), Wen Jiabao telah menekankan lagi peranan utama ASEAN dalam mekanisme itu. Beliau mengalu-alukan keanggotaan baru Rusia dan Amerika Syarikat sebagai rakan rasmi Sidang Kemuncak Asia Timur dan mengharapkan peranan membina kedua-dua negara tersebut dalam EAS.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China