(Upacara Penutupan Ekspo Dunia 2010 Shanghai)
Ekspo Dunia 2010 di Shanghai China telah menutup tirainya malam tadi. Dalam tempoh selama 184 hari yang lalu, sebanyak 246 buah negara dan pertubuhan antarabangsa telah mengisi pameran ekspo dunia ini menerusi kreativiti dan aktiviti yang menakjubkan sehingga menampilkan Ekspo Dunia yang luar biasa kepada dunia.Dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri China, Wen Jiabao malam tadi, tirai Ekspo Dunia di Shanghai ini pun ditutup dengan rasminya. Wen Jiabao berkata,
"Saya mengumumkan, Ekspo Dunia 2010 di Shanghai berakhir!"
Naib Perdana Menteri yang juga Ketua Pengarah Jawatankuasa Penganjur Ekspo Dunia 2010 Shanghai China, Wang Qishan ketika berucap dalam upacara penutupan Ekspo Dunia di Shanghai ini menyatakan bahawa penglibatan 246 buah negara dan pertubuhan antarabangsa serta syarikat China dan luar negara telah menjayakan ekspo kali ini. Kata beliau,
"Dalam tempoh selama 184 hari lalu, kita telah menyaksikan Ekspo Dunia yang berjaya, menakjubkan dan takkan dilupakan. Ini dapat dilihat daripada beberapa aspek, termasuk penyertaan 190 buah negara, 56 buah pertubuhan antarabangsa serta syarikat dari China dan luar negara dalam pameran, lebih 2 juta sukarelawan yang menyumbangkan usaha mereka yang tidak diminta balas, jumlah pelawat yang mencecah 73.08 juta orang, dan laman sesawang Ekspo Dunia yang sentiasa melayani pelayar tanpa batasan. Ingatan yang begitu manis akan kekal tersimpan dalam hati kita semua!"
Wang Qishan menyatakan, hasil inovasi tamadun manusia banyak yang ditampilkan dalam kali ini dan ini hal dapat mengeratkan hubungan China dengan dunia luar. Menurut beliau, China, sebuah negara yang sudah lebih terbuka, toleran, bertamadun dan maju akan bersama-sama dengan negara lain membina masa depan yang cemerlang.
Dalam upacara penutupan tersebut, Presiden Biro Pameran Antarabangsa, Encik Jean-Pierre Lafon berkata,
"Ekspo Dunia 2010 di Shanghai amat berjaya, ini juga merupakan kejayaan usaha Ekspo Dunia. Semangat tema ekspo kali ini, iaitu 'Better City Better Life' akan diteruskan selepas ia sudah ditutup."
Dalam upacara penutupan tersebut, pihak penganjur Ekspo Dunia di Shanghai menyerahkan bendera Biro Pameran Antarabangsa kepada pihak penganjur Ekspo Dunia 2015, Milan Itali.
Ekspo Dunia di Shanghai dirasmikan pada 1 Mei lalu. Antara negara yang menyertai ekspo dunia kali ini, bukan sahaja negara-negara yang pernah beberapa kali menyertai ekspo dunia ini, seperti A.S., Britain, Jerman dan Jepun, malah juga negara yang belum pernah menyertai ekspo dunia, termasuk Republik Rakyat Demokratik Korea dan Somalia, juga negara-negara yang sedang menghadapi krisis kewangan yang teruk, seperti Iceland dan Greece, dan yang sedang mengalami bencana alam, termasuk Haiti dan Chile. Para peserta Ekspo Dunia di Shanghai menyatakan bahawa ekspo kali ini bukan sahaja telah mencipta rekod dari segi skopnya, malah juga menyediakan wadah yang baik untuk mendorong kerjasama antara negara, rantau dan pertubuhan.
Pada sebelah pagi semalam, forum kemuncak ekspo ini yang bertema "inovasi bandar dan pembangunan berterusan" telah diadakan dan Perisytiharan Shanghai dikeluarkan dalam forum itu. Perisytiharan Shanghai ini mengandungi persepakatan pelbagai pihak yang menyertai Ekspo Dunia di Shanghai tentang pembangunan yang berterusan bagi bandar di dunia yang menggambarkan hasil yang penting yang dicapai oleh ekspo ini. Perisytiharan Shanghai mencadangkan untuk menjadikan 31 Oktober sebagai "Hari Bandar Dunia".
(Persembahan Seni dalam Upacara Penutupan)
Dalam upacara penutupan ini juga, artis-artis terkenal dan kumpulan seni dari China telah membuat persembahan yang meriah untuk para penonton.