Cari:
Sukan Asia Bawa Kehidupan yang Lebih Baik kepada Lebih Ramai Orang
2010-11-02 15:18:33 CRI Cetak
Selepas berjaya dipilih menjadi tuan rumah Sukan Asia ke-16 pada bulan Julai tahun 2004, bandar Guangzhou yang terletak di kawasan selatan China ini pun mula membuat persiapan yang melibatkan pelbagai aspek dan bidang yang berkait dengan Sukan Asia ini. Pada masa ini, bandar Guangzhou telah berubah wajah baru. Bandar yang indah ini dan penduduknya yang mesra sedang menunggu-nungu kedatangan kawan-kawan dari dalam dan juga luar China untuk bersama-sama menikmati kegembiraan yang akan dibawa oleh Sukan Asia ini.

Dalam proses persiapan Sukan Asia, kerajaan Guangzhou telah mengambil pelbagai langkah untuk merawat dan membaiki persekitaran sumber air, udara, kediaman dan pengangkutan. Naib Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia yang juga Datuk Bandar Guangzhou, Wan Qingliang menyatakan bahawa wajah bandar Guangzhou telah banyak berubah dengan terlaksananya tindakan-tindakan tersebut. Ini dapat dibukti dengan udaranya yang lebih bersih, airnya yang lebih jernih, lalu lintasnya yang lebih lancar, bangunannya yang lebih teratur dan seluruh bandarnya yang lebih indah. Kata beliau,

"Dengan mengeluarkan slogan 'Menyongsong Sukan Asia dan Membina Kehidupan yang Baik', kami memang hendak menyediakan suasana kehidupan yang baru kepada penduduk Guangzhou, antaranya termasuk mutu kehidupan yang lebih tinggi, memimpin mereka supaya mengejar kehidupan yang lebih bermakna dan membantu mereka supaya mempunyai cita rasa yang lebih baik."

Bandar Guangzhou ialah satu daripada lima buah bandar yang terbesaar di China, yang terdapat gunung yang hijau dan bunga yang mekar sepanjang tahun. Itulah sebabnya, Guangzhou juga dikenali sebagai "bandar bunga". Sukan Asia akan tiba tidak lama lagi. Jadi, Guangzhou telah mempercepat langkah penghijauan bandarnya baru-baru ini dengan menghias tepi jalan utamanya dengan tumbuh-tumbuhan, menanam lebih banyak rumput dan membina taman kecil di segala pelosok bandar supaya ia kelihatan lebih indah.

Usaha kerajaan Guangzhou ini menggembirakan hati para penduduk. Seorang penduduk Guangzhou, Chen Fang berkata,

"Dulu, beberapa tempat di bandar Guangzhou kurang bersih dan tidak teratur. Langkah yang diambil oleh kerajaan telah menjadikan bandar ini lebih kemas dan cantik dengan dihias pokok yang hijau, rumput dan bunga. Bagus sekali."

Dalam tempoh berlangsungnya Sukan Asia dan Sukan Para Asia di Guangzhou ini nanti, kerajaan Guangzhou menawarkan 10 perkara yang membawa manfaat kepada penduduk tempatan, antaranya termasuk menambah hari cuti, penggunaan pengangkutan awam secara percuma, penggunaan stadium, gimnasium dan gelanggang sukan oleh awam secara percuma, lawatan ke stadium dan gimnasium utama Sukan Asia secara percuma dan lain-lain. Pada masa yang sama, golongan orang kurang upaya akan diberi subsidi dan diberi kemudahan perkhidmatan jalur lebar untuk mereka melayari laman sesawang secara percuma. Bermula semalam, penduduk bandar Guangzhou dan pelancong ke Guangzhou telah menaiki bas awam dan kereta api bawah tanah secara percuma.

Berkait dengan 70 buah stadium dan gimnasium yang akan digunakan bagi Sukan Asia ini, Naib Datuk Bandar Guangzhou, Xu Ruisheng menyatakan bahawa dalam membina stadium-stadium tersebut, kerajaan telah pun mengambil kira penggunaannya selepas sukan ini berakhir. Kata beliau,

"Menjadikan penduduk Guangzhou dapat berkongsi hasil penganjuran Sukan Asia ini merupakan salah satu pertimbangan kita ketika membina stadium untuk sukan ini. Pemilihan tempat untuk membinanya banyak mempertimbangkan keperluan penduduk dan pembangunan bandar."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China