Cari:
Xi Jinping Memberikan Penghargaan yang Tinggi kepada Hubungan China-ASEAN
2010-11-16 14:57:28 CRI Cetak
Naib Presiden China, Xi Jinping yang mengadakan lawatan di Singapura telah menghadiri jamuan menyambut ulang tahun ke-20 terjalinnya hubungan diplomatik China-Singapura semalam. Ketika berucap dalam jamuan itu, Xi Jinping telah menyatakan penghargaan yang tinggi kepada perkembangan hubungan antara China dengan negara-negara ASEAN.

Menurut beliau, hubungan China-ASEAN terus berkembang dari semasa ke semasa sejak terjalinnya hubungan dialog pada tahun 1990-an. China merupakan negara besar yang pertama di luar rantau ASEAN yang memeterai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara(TAC) dan memberikan sokongan kepada Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara(SEANWFZ)." Selain itu, Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA) telah pun beroperasi menurut jadualnya. Menurut beliau lagi, sekarang, China merupakan rakan perdagangan yang paling besar bagi ASEAN, manakala ASEAN pula menjadi rakan perdagangan keempat terbesar bagi China.

Xi Jinping berkata, tahun ini merupakan masa yang penting dalam perkembangan hubungan China-ASEAN kerana kedua-dua pihak telah berjaya menyelesaikan pelan tindakan bagi tempoh lima tahun pertama ke arah hubungan rakan strategik yang damai dan makmur, dan akan melancarkan pelan tindakan bagi tempoh lima tahun kedua pula.

Menurut Naib Presiden China itu, peningkatan hubungan persahabatan dan kerjasama China-ASEAN bukan sahaja membawa keuntungan kepada rakyat kedua-dua pihak, tetapi juga mempunyai erti yang penting kepada kedamaian, kestabilan dan kemakmuran di rantau Asia. Tegas beliau, China akan terus mengembangkan hubungan kerjasama dengan ASEAN berdasarkan prinsip saling menghormati dan pembangunan bersama, di samping memberikan sokongan kepada pembentukan Komuniti ASEAN dan menyarankan agar ASEAN memainkan peranan utama dalam proses kerjasama serantau.

Menurut statistik, jumlah perdagangan antara China dengan negara-negara ASEAN mencatat angka 211.3 bilion dolar Amerika dalam tempoh 9 bulan pertama tahun ini, meningkat 43.7% berbanding dengan masa yang sama tahun lepas. Sekarang, jumlah perdagangan dan pelaburan masing-masing meningkat 172% dan 142% berbanding dengan tahun 2003.

Ketika menyentuh tentang jangkaan bahawa China akan menjadi entiti ekonomi kedua terbesar di dunia serta dasar luar kerajaan China pada masa hadapan, Xi Jinping menegaskan bahawa China tetap merupakan sebuah negara membangun. Walaupun ekonomi China mencapai perkembangan yang pesat sejak terlaksananya dasar pembaharuan dan pintu terbuka pada 30 tahun lalu, sehingga jumlah KDNK negara ini dijangka menduduki tempat kedua di dunia, namun jumlah KDNK per kapitanya hanya merupakan 1/10 daripada KDNK Singapura, dan hanya menduduki tempat ke-100 di dunia.

Menurut beliau, China yang makmur dan stabil tidak akan memberikan ancaman kepada sebarang negara, sebaliknya akan memberikan lebih banyak peluang pembangunan. China tetap mempertahankan kaedah pembangunan secara damai dan mengamalkan strategi pembangunan yang bersifat terbuka dan saling menguntungkan.

Xi Jinping juga menegaskan bahawa China tetap akan memikul tanggungjawabnya dalam memelihara kedamaian dan mendorong pembangunan bersama serantau. Kerajaan China mengamalkan dasar luar yang bebas dan menyarankan pembangunan dunia ke arah yang harmoni, damai dan makmur. Sebagai salah sebuah negara di rantau Asia, China mengesyorkan agar semua negara, baik besar mahupun kecil bersikap saksama dan patut saling hormat-menghormati antara satu sama lain. China bersedia mempedalam penggabungan kepentingannya dengan kepentingan negara-negara Asia yang lain dalam ekonomi dan kewangan dan berusaha merealisasikan pembangunan bersama berdasarkan prinsip saling melengkapi.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China