Cari:
Jurulatih China yang Bekerja Di Luar Negara, Utusan Persahabatan Kalangan Rakyat
2010-11-18 13:50:17 CRI Cetak

Dalam Sukan Olimpik 2008 yang diadakan di Beijing, terdapat banyak skuad negara asing yang diketuai oleh bekas jurulatih China, seperti jurulatih skuad bola tampar A.S., Lang Ping, jurulatih skuad pingpong Singapura, Liu Guodong dan jurulatih skuad gimnastik A.S. Qiao Liang dan lain-lain yang mencapai kecemerlangan. Dengan kegiatan kerjasama antarabangsa yang semakin meningkat dalam bidang sukan, jumlah jurulatih yang bekerja di negara-negara lain juga semakin ramai. Dalam Sukan Asia yang sedang diadakan di Guangzhou, terdapat juga ramai bekas jurulatih China yang berkhidmat untuk kontinjen negara-negara asing.

Ketua jurulatih pasukan pingpong wanita Singapura, Zhou Shusen yang telah berusia 69 tahun pernah berkhidmat sebagai jurulatih untuk skuad pingpong China dan pasukan pingpong Beijing. Beliau telah mengetuai skuadnya mencapai kecemerlangan dalam pelbagai pertandingan antarabangsa dan memupuk sejumlah besar pemain yang cemerlang seperti Zhang Yining, Li Jiawei dan Guo Yan. Pada tahun 2009, Zhou Shusen mula berkhidmat sebagai ketua jurulatih skuad pingpong Singapura. Bekas ketua jurulatih skuad itu, Liu Guodong juga berasal dari China.

Zhou Shusen yang mengetuai pasukannya yang sedang bertanding dalam Sukan Asia di Guangzhou berkata, "Walaupun usia saya sudah hampir 70 tahun, tetapi saya masih sihat dan mampu mengetuai skuad pingpong."

Pada masa ini, kira-kira 20 orang bekas jurulatih China sedang mengetuai skuad negara asing bertanding dalam Sukan Asia di Guangzhou. Mereka berkongsi pengalaman China dalam bidang sukan dan memperkenalkan budaya China kepada pemain dan rakyat negara lain serta menjadi utusan persahabatan kalangan rakyat antarabangsa.

Keterlibatan jurulatih China dalam skuad negara lain bermula pada tahun 1950-an. Pada tahun 1957, Jawatankuasa Sukan Negara China yang lalu telah menghantar pasukan jurulatih ke Vietnam untuk mengembangkan bidang sukan di negara tersebut. Dalam tempoh 53 tahun yang lalu, China telah menghantar lebih 2600 orang jurulatih dalam 38 acara sukan kepada 124 buah negara dan kawasan. Mereka menjadi utusan persahabatan antara rakyat China dengan rakyat negara-negara yang berkenaan. Jurulatih acara Wusyu China yang sedang bekerja di Jepun, Sun Jianming berkata, "Saya berusaha untuk memperkenalkan seni Wushu dan budaya China kepada rakyat negara asing."

Hanya berkhidmat sebagai ketua jurulatih skuad pingpong Singpura selama setahun sahaja, Zhou Shusen telah mengetuai pasukannya meraih pingat emas dalam acara pingpong wanita berpasukan dalam Kejohanan Pingpong Dunia pada bulan Mei lalu. Beliau berkata, "Pemain skuad saya amat memahami kerja saya. Hubungan persahabatan antara kami juga agak baik."

Naib Ketua Pengarah Jabatan Pentadbiran Am Sukan Negara China, Cai Zhenhua merupakan seorang pemain pingpong yang cemerlang. Beliau pernah bekerja sebagai jurulatih di negara lain selama 4 tahun pada tahun 1980-an. Beliau berkata, "Dalam tempoh 4 tahun bekerja di luar negara, saya telah menjadi seorang jurulatih dari pemain yang biasa. Pengalaman itu amat berharga bagi saya."

Bekas Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Juan Antonio Samaranch telah menganugerahkan "Piala Olimpik" kepada China untuk menghargai sumbangan China terhadap perkembangan bidang sukan dunia. Dengan usaha jurulatih-jurulatih tersebut, China dan masyarakat antarabangsa dapat berkongsi pengalaman dalam bidang sukan.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China