Menurut Bernama Malaysia, selepas dua hari kemarau pingat, kontinjen Malaysia semalam menambah empat perak dan satu gangsa pada hari kesembilan, temasya Sukan Asia ke-16 di Guangzhou.
Dengan pencapaian terbaru itu, Malaysia kini menduduki tangga ke-13 dalam carta pungutan pingat dengan tiga emas, tujuh perak dan tujuh gangsa.
Hari ini, tumpuan terarah kepada dua atlet negara bergelar Datuk untuk menyumbangkan pingat kepada negara.
Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei akan bertemu juara Olimpik, Lin Dan dari China dalam perlawanan perseorangan lelaki.
Sementara itu, Datuk Nicol Ann David akan bertemu Annie Au Wing Chi dari Hong Kong dalam perseorangan akhir wanita sementara seorang lagi pemain negara Mohd Azlan Iskandar akan menentang pemain Pakistan, Aamir Atlas Khan dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki.