Cari:
Sukan Para-Asia Dirasmikan di Guangzhou
2010-12-13 16:36:57 CRI Cetak

Malam semalam, atlet kurang upaya dari 41 buah negara dan kawasan di Asia telah berkumpul bersama-sama dalam upacara perasmian Sukan Para-Asia. Upacara yang diadakan di Stadium Pusat Olimpik Guangzhou itu telah dirasmikan oleh Naib Perdana Menteri, Li Keqiang

Dalam tempoh 7 hari yang akan datang, lebih 2,500 orang atlet kurang upaya dari 41 anggota Jawatankuasa Paralimpik Asia akan bertanding dalam 19 acara sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Paralimpik China, Wang Xinxian, Pengerusi Jawatankuasa Paralimpik Asia, Datuk Zainal Abu Zarin dan Pengerusi Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Philip Craven turut hadir dalam upacara perasmian tersebut. Datuk Zainal Abu Zarin berkata, "Lebih 80 ribu orang penonton menyaksikan upacara perasmian di gelanggang ini, dan beratus-ratus juta orang lagi akan menonton temasya sukan ini melalui pelbagai media. Temasya sukan ini akan menyemarakkan semangat paralimpik."

Upacara perasmian tersebut berlangsung selama dua jam setengah. "Kumpulan ibu" yang merupakan ibu-ibu atlet kurang upaya telah menarik perhatian para penonton. Walaupun anak-anak mereka merupakan orang kurang upaya, tetapi kejayaan atlet kurang upaya dalam gelanggang sukan menjadi kebanggaan mereka. Ketika upacara perasmian tersebut akan berakhir, seorang atlet kurang upaya lelaki dan seorang atlet kurang upaya wanita China memegang obor dan bekerjasama memanjat pentas yang tingginya berpuluh-puluh meter itu untuk menyalakan api suci Sukan Para-Asia. Temasya sukan kali ini merupakan Sukan Para-Asia yang pertama sejak Jawatankuasa Paralimpik Asia ditubuhkan pada tahun 2006. Sebagai tuan rumah, Guangzhou telah membuat persiapan dengan bersungguh-sungguh selama lebih dua tahun. Sukan Para-Asia menggunakan 19 buah stadium dan gimnasium moden yang digunakan untuk Sukan Asia yang baru berakhir di bandar tersebut. Seramai 25 ribu orang sukarelawan yang berkhidmat untuk temasya sukan tersebut telah menerima latihan untuk membantu orang kurang upaya. Selain itu, tuan rumah juga telah menyediakan dan memperbaiki pelbagai kemudahan untuk keselesaan atlet kurang upaya.

Datuk Zainal Abu Zarin berkata, kerja persiapan Sukan Para-Asia Guangzhou amat cemerlang. Mengadakan Sukan Para-Asia dan Sukan Asia di bandar yang sama amat penting untuk memajukan temasya sukan tersebut. Beliau berkata, "Mengadakan Sukan Para-Asia dan Sukan Asia di bandar yang sama amatlah baik. Atlet kurang upaya boleh menggunakan gelanggang dan kemudahan yang bagus yang disediakan untuk Sukan Asia. Tenaga manusia untuk Sukan Asia juga boleh berkhidmat untuk Sukan Para-Asia."

Atlet lawan pedang kerusi roda Jepun, Yasui Kazuhiko berkata, "Taraf kemahiran atlet Sukan Para-Asia kali ini amat tinggi dan setanding dengan Sukan Paralimpik di Beijing pada tahun 2008. Kami semua akan berusaha bersungguh-sunguh untuk mencapai kecemerlangan dalam temasya sukan kali ini.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China