Cari:
Jepun Perlu Bertindak Ikhlas untuk Pulihkan Hubungan dengan China
2010-12-23 15:00:56 CRI Cetak
Sejak Naoto Kan menjawat jawatan Perdana Menteri Jepun pada bulan Jun lalu, hubungan Jepun dengan China sering menghadapi cabara. Pergeseran ini terjadi berikutan kejadian pelanggaran kapal di perairan sekitar Pulau Diaoyu pada bulan September lalu, dan latihan tentera Jepun, serta pengumuman garis panduan dasar pertahanan Jepun yang baru pada bulan ini. Semua ini telah membawa kesan negatif kepada hubungan Jepun-China.

Sempena menyambut tahun baru 2011, Naoto Kan dalam perutusannya kepada akhbar terbitan Persatuan Persahabatan Jepun-China berkata bahawa beliau akan berusaha untuk menggalakkan perkembangan hubungan strategik Jepun-China yang saling menguntungkan. Beliau juga menyatakan bahawa sebagai jiran, Jepun sudah mempunyai sejarah hubungan dengan China sejak beberapa ribu tahun dahulu. Jadi, kerajaan dan rakyat kedua-dua negara ini perlu bersama-sama mengatasi pelbagai kesukaran dan melaksanakan kerjasama yang lebih erat pada masa akan datang.

Pada 17 Disember lalu, kerajaan Jepun telah meluluskan Garis Panduan Dasar Pertahanan yang baru yang menjadikan China sebagai "musuh bayangan". Menteri Pertahanan Jepun, Toshimi Kitazawa dalam sidang media Selasa lalu mengakui bahawa "isu kawasan perlindungan pertahanan" yang merujuk kepada China masih wujud. Toshimi Kitazawa memberikan keterangan lanjut bahawa dengan memegang prinsip "mewujudkan hubungan persahabatan Jepun-China", kerajaan Jepun telah "memeras otak" untuk menyusun garis panduan dasar pertahanan yang baru itu. Beliau percaya garis panduan ini akan diterima oleh pihak China.

Duta Besar Jepun yang baru ke China, Uichirou Niwa telah membuat lawatan sulungnya ke Nanjing pada hari Isnin yang lalu. Beliau mengibaratkan hubungan Jepun-China sebagai hubungan "suami isteri", kerana kedua-dua negara ini tidak boleh "bercerai" ataupun "berpisah", dan kedua-duanya tidak ada pilihan, selain memelihara hubungan persahabatan.

Naoto Kan dalam majlis pemeriksaan barisan Pasukan Bela Diri tahun 2010 yang diadakan pada penghujung bulan Oktober lalu menyatakan, pihaknya mendapati situasi keselamatan negara-negara jirannya semakin mencemaskan. Oleh itu, Jepun mengambil sikap berhati-hati, memandangkan pembangunan sistem peluru berpandu dan senjata nuklear di Republik Rakyat Demokratik Korea serta pembangunan tentera China yang semakin moden dan kuat.

Kenyataan Naoto Kan itu telah menjejaskan keyakinan China terhadap Jepun dalam isu politik.

Penganalisis berpendapat, pemulihan hubungan China-Jepun memerlukan tindakan yang menunjukkan keikhlasan pihak Jepun, bukannya kenyataan persahabatan sahaja. Perbuatan cakap lain bertindak lain ini memang akan menjejaskan hubungan kedua-dua negara.

Baru-baru ini, Naoto Kan menyatakan bahawa apa yang dilakukan olehnya sebelum ini adalah usahanya untuk menyesuaikan dirinya dengan jawatan baru sebagai Perdana Menteri. Jadi, beliau akan menunjukkan dirinya yang sebenar pada masa akan datang. Sejauh mana Naoto Kan akan membawa hubungan Jepun-China ini, kita masih perlu menunggu untuk mendapatkan jawapannya.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China