Lawatan Setiausaha Pertahanan A.S., Robert Gates ke China pada awal tahun ini telah menjadi satu babak yang penting dalam sejarah pertukaran ketenteraan antara kedua-dua negara. Dalam tempoh lawatan tersebut, banyak persepakatan berjaya dicapai antara kedua-dua pihak, dan ini dikatakan memberikan satu isyarat yang positif kepada dunia, iaitu program pertukaran lawatan ketenteraan peringkat tinggi antara China dengan A.S. sudah kembali pulih. Walaupun masih wujud banyak perselisihan pendapat antara kedua-dua pihak, namun, program interaksi begini tetap mempunyai erti yang penting bagi perkembangan hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara pada masa depan.
Presiden China, Hu Jintao dalam pertemuannya dengan Gates pada 11 Januari lalu, telah menyatakan harapannya agar jabatan pertahanan China dan A.S. dapat memperkukuh dialog dan kerjasama berdasarkan prinsip "saling menghormati, saling mempercayai, sama kedudukan, dan saling menguntungkan", di samping terus berusaha untuk memupuk dan meningkatkan rasa saling mempercayai dari segi strategik, serta menghormati dan mempertimbangkan keprihatinan antara satu sama lain, untuk menyumbang kepada perkembangan hubungan ketenteraan yang sihat dan stabil antara kedua-dua negara.
Sehari sebelum itu, ahli Dewan Negara yang juga Menteri Pertahanan China, Liang Guanglie, juga telah mengadakan rundingan dengan Gates. Melalui perbincangan secara terbuka, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengekalkan pertukaran lawatan peringkat tinggi, dan menggerakkan kerjasama dalam bidang pendidikan serta program-program yang berkaitan dengan pembinaan mekanisme yang berkenaan. Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengadakan pertemuan antara jabatan pertahanan, serta mesyuarat mengenai mekanisme perundingan keselamatan ketenteraan di laut pada setengah tahun pertama tahun ini.
Kesemua persepakatan yang tercapai ini memperlihatkan bahawa pihak tentera China dan A.S. sudah menyedari betapa pentingnya dialog dan komunikasi dalam memajukan hubungan ketenteraan antara kedua-dua pihak. Agensi Berita Reuters dalam laporannya menyebut bahawa, dengan tercapainya persepakatan tersebut, hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara sudah "menunjukkan tanda-tanda yang positif untuk pulih semula".
Ada juga media yang berpendapat bahawa walaupun lawatan Gates ke China ini telah mencapai hasil tertentu, namun perkembangan hubungan antara tentera kedua-dua negara "masih belum mencapai kemajuan yang besar". Sebenarnya, sebagai dua buah negara yang berpengaruh besar di dunia, wujudnya perselisihan pendapat dan percanggahan merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan, memandangkan terdapat keadaan yang berbeza dari segi politik, budaya dan tradisi di kedua-dua negara yang berkenaan. Oleh itu, untuk membina hubungan yang benar-benar saling mempercayai antara tentera kedua-dua negara, sememangnya merupakan satu tugas yang agak berat, dan masih memerlukan masa yang agak panjang.
Padahal, selama ini, pihak China telah melakukan banyak usaha yang positif untuk menggalakkan perkembangan hubungan antara tenteranya dengan tentera A.S.. Walaupun pada tahun lalu, pihak China memutuskan untuk menangguhkan siri program pertukaran ketenteraan dengan A.S. berikutan tindakan mereka menjual senjata kepada Taiwan, namun, program pertukaran pertahanan yang sudah dirancangkan sebelum ini masih belum terputus, dan tentera kedua-dua negara tetap mengekalkan dialog dalam mekanisme tertentu.
Walau bagaimanapun, satu perkara penting yang tidak dapat diabaikan ialah, unsur-unsur yang menjadi penghalang utama kepada perkembangan hubungan ketenteraan antara China dengan A.S. kini masih wujud. Jika unsur tersebut tidak diuruskan dengan berhati-hati, ia akan memberikan kesan yang negatif kepada perkembangan hubungan ini. Dalam pada itu, Presiden Hu Jintao dalam pertemuannya dengan Gates juga menekankan bahawa satu asas politik yang kukuh, iaitu saling menghormati kedaulatan, kepentingan keselamatan dan pembangunan, perlu dibina demi mengekalkan perkembangan hubungan ketenteraan yang sihat dan stabil antara kedua-dua negara.
Sekarang, hubungan ketenteraan antara China dengan A.S. sedang berada pada titik permulaan yang baru, dan menghadapi peluang yang baik untuk terus berkembang. Dalam keadaan ini, pihak A.S. sepatutnya menunjukkan keikhlasan yang secukupnya, di samping mengambil tindakan yang berkesan untuk terus menggalakkan perkembangan hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara.