Cari:
Lawatan Presiden Hu Jintao Diharap Majukan Hubungan China-A.S.
2011-01-13 11:05:12 CRI Cetak

Naib Menteri Luar China, Cui Tiankai dalam sidang akhbar yang diadakan di Beijing semalam, menyatakan bahawa China berharap agar lawatan Presiden China, Hu Jintao ke A.S. nanti dapat membantu memajukan lagi hubungan yang bersifat kerjasama, positif dan menyeluruh antara kedua-dua negara.

Dalam sidang akhbar selama kira-kira satu jam itu, Cui Tiankai telah menjelaskan agenda lawatan Hu Jintao ke A.S. kali ini, dan menjawab pertanyaan pihak media tentang hubungan dua hala serta kerjasama berbilang hala antara China dengan A.S.. Beliau menekankan bahawa hubungan China-A.S. sudah berkembang menjadi hubungan dua hala yang paling penting di dunia. Kata beliau:

"Situasi antarabangsa kini terus mengalami perubahan yang besar. Cabaran global yang kita hadapi semakin rumit dan semakin banyak, manakala tahap kebergantungan antara negara-negara di dunia semakin tinggi. Sebagai negara membangun dan negara maju yang terbesar di dunia, China dan A.S. mempunyai banyak kepentingan bersama dalam isu-isu penting di peringkat antarabangsa, terutamanya isu kedamaian dan pembangunan di rantau Asia Pasifik. Kedua-dua negara ini sama-sama menghadapi banyak cabaran, dan memikul tanggungjawab yang penting dalam isu-isu yang berkenaan. Dalam konteks ini, amatlah penting bagi kedua-dua negara untuk meningkatkan lagi penyelarasan dan kerjasama antara satu sama lain."

Cui Tiankai menyatakan bahawa dalam tempoh dua tahun yang lalu sejak Barack Obama menjawat jawatan Presiden, perkembangan hubungan antara China dengan A.S. benar-benar mencapai kemajuan yang amat positif. Komunikasi dan dialog antara pelbagai peringkat, termasuk pemimpin peringkat tinggi, semakin erat, manakala kepentingan bersama antara kedua-dua pihak juga semakin banyak. Sementara itu, Cui Tiankai juga mengaku bahawa berikutan keadaan negara yang berbeza, pendiridan China dan A.S. dalam beberapa isu adalah tidak sama. Sedangkan, dengan semakin eratnya hubungan antara kedua-dua negara, berlakunya perbezaan pendapat atau percanggahan merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Beliau menegaskan bahawa kedua-dua pihak sepatutnya berusaha untuk menangani masalah dan percanggahan tersebut berdasarkan prinsip saling menghormati dan mempercayai, sehingga mencapai hasil yang saling menguntungkan dan muafakat bestari. Kata beliau:

"Pihak China selalu berpegang teguh pada prinsip saling menghormati dan mempercayai untuk menguruskan hubungan dengan A.S.. Hubungan China-A.S. kini sedang berada pada fasa perkembangan yang baru. Pada pandangan saya, semangat kerjasama yang saling menghormati, saling menguntungkan dan muafakat bestari ini amat diperlukan untuk memajukan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara."

Cui Tiankai menjelaskan bahawa dalam pertemuan nanti, Hu Jintao dan Obama akan bertukar-tukar pandangan mengenai beberapa isu utama di peringkat antarabangsa dan serantau, termasuk situasi di Semenanjung Korea. Beliau turut menekankan bahawa kedua-dua negara China dan A.S. serta pihak-pihak lain yang terlibat mempunyai banyak kepentingan serta sasaran bersama dalam isu tersebut. Menurut beliau, perkara yang paling mendesak sekarang ini ialah meredakan ketegangan di semenanjung itu melalui dialog. Beliau juga menegaskan bahawa pihak China berharap untuk melaksanakan kerjasama yang lebih erat dengan A.S. di rantau Asia Pasifik, dan berusaha bersama-sama ke arah mewujudkan keamanan dan kemakmuran serantau.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China