Cari:
Lawatan Hu Jintao Akan Berikan Kesan yang Besar kepada Hubungan China-A.S.
2011-01-14 14:24:53 CRI Cetak

Presiden China, Hu Jintao akan membuat lawatan rasmi ke A.S. pada 18 hingga 21 Januari ini. Ini merupakan lawatannya yang pertama ke negara tersebut sejak Barack Obama menjawat jawatan Presdien. Akhir-akhir ini, ahli-ahli politik di A.S. terus-menerus menyampaikan pidato yang menyatakan bahawa, lawatan Hu Jintao kali ini bukan sahaja menyediakan peluang keemasan kepada kedua-dua pihak untuk menangani pergeseran dan memperkukuh kerjasama, malah akan memberikan kesan yang besar kepada perkembangan hubungan antara kedua-dua negara pada masa depan.

Sebelum lawatan Hu Jintao ke A.S. ini, lawatan timbal balas antara pemimpin kedua-dua negara telah pun bermula. Ketika bercakap tentang Setiausaha Pertahanan A.S., Robert Gates ke China pada awal bulan ini dalam satu sidang akhbar yang diadakan pada 12 Januari lalu, Pengerusi Persidangan Bersama Ketua Turus Tentera A.S., Michael Mullen menyatakan bahawa lawatan tersebut telah memperkukuh hubungan antara tentera kedua-dua negara. Kata beliau:

"Pulihnya hubungan ketenteraan benar-benar amat penting bagi perkembangan hubungan dua hala antara A.S. dan China. Kami yakin, lawatan Presiden Hu Jintao kali ini pasti akan membuahkan hasil yang positif.

Dalam forum anjuran Pusat Kemajuan A.S., iaitu kumpulan pemikir Washington yang diadakan akhir-akhir ini, Naib Setiausaha Negara A.S., James Steinberg menyatakan bahawa pihaknya akan berusaha dengan sedapat mungkin untuk menjayakan lawatan Hu Jintao kali ini. Kata beliau:

"Kemajuan hubungan A.S.-China dapat dilihat menerusi aspek pertukaran lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara ini. Lawatan Presiden Hu Jintao kali ini ialah pertemuan kali kelapan antara pemimpin kedua-dua negara sejak Presiden Obama mengambil alih teraju pemerintahan. Ini akan menyediakan satu lagi peluang kepada kedua-dua pihak untuk mengadakan perbincangan secara terbuka mengenai topik-topik yang menjadi perhatian bersama."

Steinberg turut menyifatkan peningkatan persefahaman dan pemupukan rasa saling mempercayai melalui dialog sebagai asas kepada perkembangan hubungan A.S.-China pada masa depan. Kata beliau:

"Melalui perbincangan secara terbuka nanti, pembentukan satu mekanisme yang saling menjamin dan saling mempercayai antara A.S. dan China akan dapat dimajukan. Melalui interaksi begini, persefahaman antara kedua-dua negara ini akan terus dipertingkatkan, dan ini akan membuahkan hasil yang amat memberangsangkan jika benar-benar direalisasikan dalam bentuk pelaksanaan."

Pada tahun 2010, hubungan antara China dan A.S. telah mengalami banyak liku-liku, baik dalam bidang politik, mahupun dalam bidang ekonomi dan ketenteraan. Malah, ada media yang melabelkan tahun itu sebagai "Tahun Pergeseran China-A.S.". Mengenai hal ini, Steinberg menyatakan bahawa kefahaman kerajaan A.S. terhadap hubungannya dengan China pada masa ini adalah berlainan dengan laporan pihak media. Kata beliau:

"Ada media yang menyatakan bahawa hubungan antara A.S. dengan China pada masa ini sedang berada pada tahap yang paling buruk, atau sudah memasuki 'tempoh beku'. Namun, kami tidak bersetuju dengan pandangan mereka. Sebenarnya, kami amat mengalu-alukan kebangkitan China sebagai sebuah negara yang berjaya, kuat dan makmur, dan dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam urusan antarabangsa. Pada pendapat kami, mengeratkan kerjasama dengan China untuk menangani cabaran global, sesuai dengan kepentingan kami."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China