Cari:
Tahun 2011 Tempoh Penting bagi Hubungan China-A.S.
2011-01-18 17:32:23 CRI Cetak

Presiden China, Hu Jintao akan mengadakan lawatan rasmi ke Amerika Syarikat (A.S.) pada 18 hingga 21 Januari ini. Ini merupakan lawatan rasmi pertama Hu Jintao ke A.S. sejak Barack Obama mengambil alih jawatan Presiden negara itu. Lawatan ini dan kesannya terhadap hubungan China-A.S. telah menarik perhatian beberapa pakar dari badan pemikir dan penasihat kerajaan A.S..

Mereka berpendapat, pergeseran selalu berlaku antara China dengan A.S. pada tahun lepas. Pilihan raya Presiden A.S. pula akan diadakan pada tahun depan. Ini akan menyebabkan hubungan dua hala China-A.S. menjadi tidak menentu. Jadi, tahun 2011 dianggap amat penting bagi kedua-dua negara untuk mempertingkat pemahaman dan rasa saling mempercayai.

Pada tahun 2010, isu-isu seperti penjualan senjata A.S. kepada Taiwan, isu nilai Renminbi, pertikaian perdagangan dan campur tangan A.S. dalam isu Laut China Selatan telah menyebabkan hubungan China dengan A.S. terjejas.

Ketua Institut Kissinger bagi Hubungan China-A.S. yang juga bekas Duta Besar A.S. ke China, Encik Stapleton Roy berpendapat bahawa lawatan Hu Jintao kali ini akan menjana hubungan dua hala China-A.S..

"Trend perkembangan hubungan A.S.-China pada tahun lalu tidak selaras dengan Kenyataan Bersama yang dikeluarkan pada bulan November 2009. Hubungan A.S.-China yang telah terkeluar dari pangkal jalan ini memang menjejaskan kepentingan A.S.. Lawatan Presiden Hu kali ini amat besar maknanya untuk membuatkan kerajaan kedua-dua negara memberi tumpuan kepada kerja yang akan membawa hubungan dua negara kembali ke pangkal jalan." ujar Stapleton Roy.

Naib Presiden Yayasan Carnegie bagi Perdamaian Antarabangsa, Encik Douglas Paal menganggap dakwaan tentang perselisihan antara China dengan A.S. semakin buruk merupakan gembar-gembur media dan sesetengah kumpulan.

"Hubungan A.S.-China yang dikatakan amat tegang ini sebenarnya digembar-gemburkan oleh media China dan A.S.. Laporan mereka seperti pantulan gema, iaitu satu laporan yang melampau dibalas dengan laporan yang sama melampau juga. Mujurlah, keadaan ini belum didapati antara kerajaan kedua-dua negara. Dalam hal ini, kerajaan mempunyai sikap yang tenang. Kami perlu berusaha untuk menunjukkan bukti kepada rakyat kedua-dua negara supaya mereka memahami bahawa keadaan sebenar adalah tidak seteruk seperti dibayangkan." kata Douglas Paal.

Isu ekonomi sentiasa merupakan isu utama dalam hubungan China-A.S.. Pakar dari Yayasan Warisan A.S., Derek Scissors berpendapat bahawa fokus hubungan dua negara pada tahun ini bukanlah isu Semenanjung Korea ataupun Isu Taiwan, tetapi isu ekonomi.

"Hubungan ekonomi kedua-dua negara pada tahun 2011 akan berjalan lancar. Nampaknya, pemulihan ekonomi A.S. akan terus kukuh. Ini yang dapat dijangka. Dan tahun ini bukan tahun untuk diadakan pilihan raya. Ini merupakan faktor penting yang memastikan hubungan kedua-dua negara terus berkembang. Oleh itu, saya berpendapat, kita patut memanfaatkan tahun ini untuk mengambil langkah yang dapat mengelakkan perselisihan daripada berlaku." kata Derek Scissors.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China