Cari:
CIBN Tanda CRI Ceburi Industri Media Baru
2011-01-19 09:50:19 CRI Cetak

Majlis pelancaran China International Broadcasting Network (CIBN) yang diusahakan oleh Radio Antarabangsa China (CRI), telah berlangsung di Beijing semalam. Presiden CRI, Wang Gengnian, ketika berucap merasmikan majlis tersebut, menyatakan bahawa siapnya CIBN membawa makna yang amat besar. Kata beliau:

"Pembinaan CIBN ini merupakan satu peristiwa yang sangat penting dalam sejarah perkembangan CRI. Ia menandakan CRI yang sudah bersejarah hampir 70 tahun, sudah mula menceburkan diri dalam industri media baru secara menyeluruh."

Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Naib Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Dewan Negara, Wang Guoqing, Naib Ketua Pengarah Jabatan Pentadbiran Am Radio, Filem dan Televisyen Negara, Tian Jin dan tokoh-tokoh kalangan media, teknologi maklumat (IT), serta diplomat-diplomat asing.

Wang Gengnian menyatakan bahawa CIBN merupakan sebuah badan penyiar rancangan radio dan televisyen peringkat negara yang menawarkan perkhidmatan kepada pengguna di seluruh dunia, dengan latar belakang teknologi internet dan telekomunikasi mobil yang semakin maju. Ia merangkumi program dalam pelbagai jenis bahasa dan pelbagai bentuk menerusi pelbagai terminal.

Menurut beliau, CIBN, sebagai platform untuk merapatkan lagi hubungan antara China dengan dunia ini, mencakupi pelbagai bentuk media baru, termasuk laman sesawang, radio internet, IPTV serta radio dan televisyen menerusi telefon bimbit dalam berbilang bahasa.

Ketika diwawancara oleh wartawan semalam, Wang Gengnian menyatakan bahawa munculnya media baru telah membawa peluang yang sangat baik kepada CRI. Kata beliau:

"Munculnya media baru telah membawa peluang keemasan kepada CRI. Kami akan menggunakan sepenuhnya peluang ini untuk memajukan diri, di samping memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna."

Berkaitan dengan prospek CIBN pula, Wang Gengnian menyatakan bahawa pihaknya akan berusaha dengan sedapat mungkin untuk menjadikan CIBN sebuah kumpulan media antarabangsa yang berpengaruh di peringkat global berasaskan konsep "Pendirian China, Visi dunia dan Nilai Umat Manusia". Kata beliau:

"Dalam masa lima tahun akan datang, CRI akan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan dari segi bahasa, tenaga profesional dan sumber media, untuk menjadikan CIBN satu media antarabangsa yang berpengaruh di peringkat global."

Selain CIBN, yang turut ditubuhkan semalam ialah Global Broadcasting Media Group (GMG). Kumpulan yang ditubuhkan dengan inisiatif Syarikat Pembangunan Media Bhd. milik CRI serta rakan-rakan kerjasama strategiknya ini, akan berfungsi sebagai platform pelaburan dan operasi CIBN. Naib Presiden GMG, Lu Zhicheng menyatakan bahawa tertubuhnya GMG akan menyediakan sokongan yang kukuh kepada kemajuan CIBN serta peningkatan keupayaan China dalam bidang komunikasi antarabangsa.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China