Cari:
Hu Jintao dan Barack Obama Capai Kata Sepakat untuk Perkukuh Hubungan Rakan Kerjasama China-A.S.
2011-01-20 16:49:41 CRI Cetak

Presiden China, Hu Jintao telah mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (A.S.), Barack Obama di Rumah Putih semalam. Sebagai hasil, kedua-dua pihak mengeluarkan kenyataan bersama yang bersetuju untuk memperkukuh hubungan dua hala ke arah rakan kerjasama yang saling menghormati dan saling menguntungkan.

Berada di ambang dekad kedua abad ke-21, China dan A.S. telah menyampaikan isyarat yang begitu positif yang bersedia memaksimumkan kepentingan bersama, menyahut peluang dan cabaran pada abad baru dengan hala tuju baru hubungan dua hala.

Pada sebelah pagi 19 Januari waktu tempatan, lagu kebangsaan Republik Rakyat China dan tembakan meriam 21 das berkumandang di udara Rumah Putih. Presiden A.S., Barack Obama telah mengadakan upacara yang cukup meriah untuk menyambut lawatan Presiden China, Hu Jintao. Ini merupakan lawatan julung kali Presiden China ke A.S. sejak Barack Obama mengambil alih jawatan Presiden negara itu.

Semalam, Hu Jintao dan Barack Obama masing-masing mengetuai pegawai kanan kerajaan mereka mengadakan rundingan selama tiga jam yang membincangkan isu ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara, isu nuklear Semenanjung Korea serta pelbagai isu hangat di arena antarabangsa.

Dalam rundingan tersebut, Hu Jintao menegaskan, menghadapi cabaran global yang semakin banyak, kepentingan bersama China dengan A.S. menjadi lebih luas. Pada masa yang sama, tanggungjawab bersama di bahu kedua-dua negara juga semakin berat. Oleh itu, China dan A.S. mengadakan kerjasama amat bermakna bagi kedua-dua negara, bahkan dunia.

"Kita patut memastikan hubungan dua hala berkembang pada landasan yang betul, saling menghormati kedaulatan negara, keutuhan wilayah dan kepentingan masing-masing bagi memperkukuh hubungan China-A.S. ke arah hubungan sihat dan stabil dalam jangka masa yang panjang, dan sekali gus memberikan sumbangan yang lebih besar kepada keamanan dan pembangunan dunia."

Dalam rundingan semalam, Hu Jintao juga telah mengeluarkan beberapa cadangan bagi memperkukuh lagi hubungan kedua-dua negara. Antaranya termasuk mengembangkan hubungan politik yang memacu kepentingan bersama, mengetepikan perselisihan, sama kedudukan dan saling mempercayai, memperdalam kerjasama ekonomi secara menyeluruh dan saling menguntungkan, meningkatkan kerjasama yang bersifat global bagi bersama-sama menghadapi cabaran, menggalakkan rakyat kedua-dua negara untuk mengambil bahagian dalam usaha mempererat persahabatan antara kedua-dua negara dan membentuk mekanisme dialog peringkat tinggi yang tulus ikhlas.

Dalam tempoh lawatan Hu Jintao, Barack Obama kerap kali menegaskan bahawa A.S. mengalu-alukan kebangkitan China. Pihaknya bersedia meningkatkan kerjasama dengan China sama ada dalam urusan dua hala ataupun pelbagai hala.

"A.S. mengalu-alukan kebangkitan China sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang kuat, makmur dan berjaya. Kejayaan China telah membawa faedah kepada rakyat kedua-dua negara. Kerjasama kedua-dua pihak dalam beberapa isu juga telah memperkukuh keamanan dan kestabilan rantau Asia-Pasifik, bahkan seluruh dunia."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China