Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan telah memberi penerangan yang menyeluruh tentang dasar luar Kabinet barunya dalam satu ucapan yang disampaikan di Tokyo semalam.
Dalam ucapan tersebut, Naoto Kan telah memberikan lima pedoman kepada Kabinet barunya untuk melaksanakan dasar luar dan pertahanan pada masa depan. Pertama, dasar luar Jepun yang berpaksikan hubungan sekutu dengan Amerika Syarikat (A.S.) akan terus diperkukuh; Kedua, dasar luar baru akan dilaksanakan terhadap negara-negara di rantau Asia dengan mempererat lagi hubungan strategik Jepun-China yang saling menguntungkan dan membuka lembaran baru hubungan Jepun-Republik Korea; Ketiga, kerajaan akan meningkatkan sokongan kepada industri pembuatan dan jabatan perindustrian untuk meneroka pasaran seberang laut; Keempat, lebih banyak melibatkan diri dalam urusan global; Dan Kelima, memberikan tindak balas yang tepat terhadap persekitaran keselamatan negara.
Sebelum ini, garis panduan dasar luar yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri Jepun, Hatoyama Yukio yang ingin mencari keseimbangan antara hubungan Jepun-A.S. dengan hubungan Jepun dengan negara-negara di Asia telah menyebabkan hubungan Jepun dengan A.S. menghadapi masalah. Oleh itu, sebagai Perdana Menteri baru, Naoto Kan telah menggubal semula dasar luar Jepun supaya ia kembali ke landasan asalnya iaitu berpaksikan hubungan sekutu dengan A.S..
Walau bagaimanapun, masalah pemindahan pangkalan tentera A.S. di Futenma yang timbul pada zaman pentadbiran Hatoyama Yukio telah menjadi duri dalam hubungan Jepun-A.S.
Memandangkan sikap penduduk tempatan yang tegas menolak pemindahan itu dibuat di dalam Okinawa, masalah itu dianggap amat sukar diselesaikan dalam jangka masa yang pendek.
Naoto Kan menyatakan, walau sekerap mana pun pentadbiran Jepun berubah, hubungan sekutu Jepun-A.S. patut dikekalkan dan terus diperkukuh. Beliau juga memohon maaf kepada penduduk Okinawa kerana hidup mereka terganggu akibat masalah tersebut.
Walau bagaimanapun, Naoto Kan mendakwa bahawa penempatan pangkalan tentera A.S. di dalam negara adalah perlu untuk keselamatan Jepun.
Tentang hubungan Jepun-China, Naoto Kan dalam ucapannya menyatakan, kerajaannya akan terus mempererat hubungan strategik dengan China yang saling menguntungkan dengan mengutamakan bidang ekonomi, perdagangan dan sumber manusia.
Tujuan Naoto Kan memberikan ucapan tersebut adalah untuk menstabilkan operasi pentadbirannya. Namun, prestasi kerajaannya dalam mengendalikan hubungan luar sebelum ini boleh dikatakan tidak matang, terutamanya dalam hubungannya dengan China.
Walaupun Naoto Kan menyampaikan hasrat untuk memperbaiki hubungan dengan China, akan tetapi kerajaannya dalam garis panduan dasar pertahanan yang diumumkan pada penghujung tahun lepas masih mengheboh-hebohkan dakwaan "ancaman China" yang menjadikan China sebagai musuh khayalan. Ini ternyata tidak bermanfaat bagi perkembangan hubungan China-Jepun yang sihat dan stabil.