Perkhidmatan pengangkutan musim perayaan Tahun Baru China tahun ini bermula dari 19 Januari lalu dan akan berakhir pada 27 Februari. Dijangka jumlah penumpang akan mencecah 2.85 bilion orang. Seminggu sebelum hari raya yang jatuh pada 3 Februari itu merupakan waktu puncak pengangkutan awam, manakala dalam tempoh itu, kebetulan cuaca buruk termasuk salji tebal dan hujan beku sering melanda merata-rata tempat di China. Jadi, pelbgai jabatan kerajaan terlibat telah meningkatkan kawalan untuk mengelakkan berlakunya kemalangan ekoran salji dan ais di jalan serta kabus yang tebal
Naib Menteri Keselamatan Awam China, Huang Ming menyatakan bahawa pihaknya telah lima kali mengeluarkan amaran mengenai isu cuaca yang dijangka akan menjejaskan pengangkutan serta menyusun rancangan kecemasan berkenaan. Kata beliau,
"Lebuh raya dan jalan raya utama tidak akan ditutup walaupun salji turun. Pihak berkenaan harus segera membersihkan salji dan ais di jalan untuk memastikan pengangkutan lancar. Jabatan yang terlibat harus bersama-sama membuat persiapan yang lengkap baik dari segi barangan, kelengkapan, mahu pun tenaga pekerja untuk menghadapi kesan negatif cuaca buruk kepada pengangkutan."
Beberapa hari lalu, salji tebal dan hujan beku melanda lagi kawasan timur dan selatan China yang menyebabkan jumlah penumpang kereta api melonjak. Berdepan dengan keadaan yang serius ini, Naib Menteri Landasan Kereta Api, Wang Zhiguo menyatakan bahawa pihaknya telah melancarkan rancangan kecemasan. Kata beliau,
"Ais beku dan salji yang menutup mesin termasuk alat bekalan elektrik dan lampu isyarat akan dibersihkan serta-merta untuk memastikan keselamatan landasan kereta api. Kereta api sementara sebanyak 680 kali telah beroperasi pada beberapa hari ini untuk menghantar penumpang yang terkandas di kawasan yang dilanda salji dan hujan beku. Selain itu, setiap stesen kereta api telah menyediakan air panas, makanan dan ubat-ubatan yang mencukupi yang mungkin diperlukan oleh penumpang."
Cuaca buruk juga telah menjejaskan penerbangan awam. Naik Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam China, Xia Xinghua berkata,
"Lapangan terbang telah dilengkapi dengan mesin pembersihan salji dan ais yang cukup banyak dan telah mempelajari pengalaman untuk menghadapi cuaca hujan beku dan salji pada masa dulu. Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Negara Beijing telah menyediakan 104 buah kereta pembersih salji dan 49 buah kereta pembersih ais serta kelengkapan yang lain. Saya yakin kelengkapan tersebut akan membantu kami mengatasi kesukaran yang mungkin berlaku dan kami akan berusaha memastikan penerbangan yang normal."